Menarik respon Allah

Sebagai seorang hamba, tidaklah sukar untuk mendapatkan respon dan berinteraksi dengan Allah S.W.T. terhadap segala doa dan permintaan. Apa yang perlu hanyalah berdasarkan pada keikhlasan hati kita kepada Allah.

Sekiranya kita ikhlas kepada Allah, sudah pasti Allah akan memberi respon kepada kita kerana Allah tidak pernah meninggalkan manusia berseorangan. Selagi mana manusia bergantung harap kepada Allah, selagi itulah Allah akan sentiasa bersamanya.

Sebaliknya, jika seorang hamba tidak memerlukan Allah sekalipun, namun Allah tetap tidak akan meninggalkannya kerana jika Allah meinggalkannya nescaya manusia tersebut menjadi tiada upaya dalam kehidupan. Sebagai makhluk kita hendaklah ikhlas dan sentiasa taat melakukan yang disuruh dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang.

Kita mestilah bergantung penuh, bertawakkal dan percaya pada Allah kerana dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w. bersabda,

Aku ini (Allah) dalam sangkaan hambaku terhadap Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati Ku” HR Bukhari & Muslim

Bermakna jika seorang hamba bersangka bahawa Allah mendengar doanya, bermakna Allah mendengar. Tetapi jika manusia sendiri tidak percaya Allah mendengar jadi walaupun Allah mendengar tetapi Dia tidak memberi respon kerana sifatnya yang tidak percaya kepada Allah.

Ada juga yang mengatakan bahawa dia selalu berdoa kepada Allah sampai penat dan hampir berputus asa, tetapi Allah tetap tidak memberi respon. Dalam hal ini, kita perlu faham makna kita membuat permohonan. Atas kapasiti memohon janganlah kita sampai memaksa. Dengan manusia pun kita tidak boleh buat begitu, apatah pula dengan Allah.

Kadang-kadang kita ini gelojoh. Kita hanya melihat apa yang kita ingin itu baik sahaja, sedangkan hakikat sebenarnya perkara itu mungkin buruk bagi kita. Maknanya, jika Allah terima doa kita itu mungkin ia jadi keburukan pada kita. Terkadang benda itu pada anggapan kita buruk tetapi hakikatnya ia sangat baik bagi Allah. Ini semua dalam pengetahuan Allah kerana Dia yang Maha Mengetahui.

Dalam al-Quran pun Allah ada menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 216,

Boleh jadi engkau membenci sesuatu tapi ia baik padamu. Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Apabila manusia memohon dan tidak dapat, dia harus faham yang menentukan ini semua adalah Allah. Mungkin dia tidak dapat ketika itu, mungkin ia ditangguhkan untuk masa yang sesuai. Maka itu kena kembali kepada asas berdoa.

Ada doa yang terus dimakbulkan. Ada doa yang ditangguhkan hingga dia ke liang lahad, dan ada doa yang tidak dimakbulkan pada masa itu juga kerana mengikut masa yang sesuai. Dan ia berlaku dalam waktu yang kita tidak sedari.

Hakikatnya apa yang perlu adalah terus bergantung sepenuhnya pada Allah, itu adalah yang terbaik sekali. Dalam hadis juga menyebutkan doa merupakan intipati ibadah kepada Allah. Justeru sebagai hamba selayaknya sentiasa berdoa pada Allah.

Allah Berbicara Bengan Sesiapa Sahaja

Dalam pada itu ada juga yang mendakwa benarkah orang belum Islam yang bermimpi atau diberi ilham untuk kembali kepada Islam, juga merupakan respon dan interaksi Allah dengan hamba? Maka dalam hal ini jawapannya benar, Allah sedang berbicara dengannya kerana dalam sebuah hadis dari Abu Said al-Khudri, dari Baginda s.a.w. bersabda,

“Apabila di antara kamu ada yang mimpi menyenangkan (memberi khabar gembira) ia bermakna dari Allah. Bacalah hamdalah dan ceritakan mimpi tersebut kepada orang lain” HR Bukhari

Dalam konteks ini, bukankah orang belum Islam tersebut mendapat perkhabaran gembira kerana Allah terus berinteraksi padanya. Bahkan sekalipun mimpi tersebut menakutkan seperti sedang dibakar api, namun jika kesudahannya dia kembali kepada Allah, (kembali kepada fitrah dan menguatkan imam) maka itu adalah khabar gembira kerana Allah terus berbicara padanya sebagai tanda kasih dan sayang-Nya.

Bermakna mimpi atau ilham boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Tidak kira samada ia Islam atau belum Islam. Apa yang penting adalah mengukur kebenaran dari kata-kata Allah.

Begitu juga apabila kita melakukan solat istikharah, selalunya orang berkata Allah menyahut panggilan kita melalui mimpi, tetapi tidak semestinya.

Melakukan Solat Istikharah bukan semestinya mendapat petunjuk melalui mimpi

Bukan semua alamat atau petanda yang diberikan Allah melalui jalan mimpi, kadang-kadang dengan cara yang lain melalui ilham atau isyarat dari Allah.

Contohnya apabila seseorang yang berdoa tentang jodohnya, maka petunjuk yang datang tidak semestinya mimpi, ia juga boleh ditunjuk dengan isyarat hati. Mungkin apabila teringat orang tersebut, atau ketika dengannya maka ia menjadi lapang atau senang hati, itu juga menunjukkan isyarat dari Allah.

Justeru itu, dalam menentukan samada apa yang diperoleh itu merupakan ilham atau interaksi yang sebenar dari Allah atau sebaliknya, beberapa kriteria perlu diperhalusi supaya seseorang yang menerima ilham itu tidak terkeliru mana yang benar dan mana yang salah.

Namun begitu apa yang penting kita perlu melihat pada parameternya iaitu selama mana ia tidak bercanggah dengan syariat Allah maka jelas ia dari Allah. Tetapi jika ia ada berlaga antara halal dan haram dan bersalahan dengan syariat Allah, jelas itu datangnya dari syaitan. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram