Ada yang merasakan dunia sekarang ini hanya dibaluti dengan kesedihan. Pandemik Covid-19 yang mengorbankan begitu banyak nyawa telah meninggalkan mereka dalam kesedihan, kerinduan serta hilang tempat bergantung. Mereka hilang mata pencarian, hidup menjadi begitu sukar.  

Menangislah. Ya, jika anda kehilangan orang yang disayangi, hidup tertekan, ketakutan dan kerinduan, menangislah kerana dalam air mata yang anda tumpahkan itu ada penawarnya. Penawar kepada jiwa dan juga kesihatan fizikal.

Tetapi jangan selamanya begitu. Dunia ini juga penuh dengan kegembiraan. Banyak keindahan yang boleh kita nikmati bersama keluarga, sahabat dan rakan sekerja.  Ketawalah, barulah hidup ini terasa indah.

Malah, jika anda hendak ketawa sehingga mengalirkan air mata pun, ketawalah. Air mata kegembiraan itu juga ada penawarnya, kerana…

Kesedihan dan kegembiraan boleh bersatu dalam air mata.

Air mata terbahagi kepada kategori, demikian menurut kajian para saintis dan pakar-pakar perubatan. Pertama, air mata yang berfungsi memastikan mata kita sentiasa lembap.

Kedua, air mata hasil gerak balas kepada sesuatu rangsangan saraf (refleks). Air mata ini akan terhasil secara spontan apabila berlaku gangguan kepada mata, misalnya habuk dan hawa pijar daripada bawang.

Kategori ketiga, air mata emosi dan ia terbahagi kepada beberapa subkategori lagi mengikut jenis emosi. Air mata ini mengandungi bahan-bahan kimia dan hormon yang berbeza, yang didapati berfungsi meningkatkan penyakit-penyakit berkaitan dengan emosi, seperti depresi. Bahan-bahan kimia dan hormon ini memang perlu dinyahkan dari tubuh, seperti kita membuang sisa-sisa kotoran ke dalam tong sampah.

Air mata yang menitis akibat daripada kesedihan, menurut para saintis, mengandungi enzim serta hormon yang lazimnya terdapat di dalam penyakit ketumbuhan, ulser, bengkak dan kanser.

Ini bermakna, menangis apabila berada dalam kesedihan akan membantu kita membuang sebahagian daripada toksik-toksik yang tidak diperlukan oleh tubuh.

Berdasarkan kajian itu juga, para saintis dan pakar perubatan mengatakan, lebih kerap seseorang itu menangis, lebih sihat tubuh mereka. Ini kerana air mata bertindak sebagai pemulih tubuh secara semula jadi.

Bila dengar pak cik ini ketawa, kita pun ikut ketawa sama. Cara dia ketawa memang lejen. Hahahahaaa..

Selain air mata, ketawa juga baik untuk tubuh. Menurut pakar-pakar perubatan, ketawa boleh menurunkan tekanan dan melancarkan peredaran darah serta menggalakkan pertumbuhan sel-sel antibodi yang berfungsi melawan dan menghapuskan penyakit di dalam badan. Ketawa juga membantu mengurangkan hormon stres.

Maka… ketawalah, dan menangislah apabila perlu, kerana kedua-dua ini Tuhan ciptakan untuk membolehkan kita hidup dengan lebih sihat, tenang dan gembira.

———————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam