cara berwuduk rasulullah

Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a. beliau telah ditanya, “tunjukkan kepada kami cara Rasulullah s.a.w. berwuduk, maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali.

“Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali.

“.Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata, “Beginilah cara Rasulullah s.a.w. mengambil wuduk”. – HR Muslim

Huraian

Wuduk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam solat. Solat yang dimaksudkan ialah solat yang mampu mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar kerana wuduk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan solat pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana solat adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

Sabda Rasullullah s.a.w. “Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik, dosa-dosanya keluar dari badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya.” – HR Muslim

Perkara sunat selepas wuduk dan fadilatnya

Setiap ibadat dalam Islam mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri. Dengan rahmat Allah jua, kadang-kadang amalan yang dilihat sedikit namun mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T..

Begitulah halnya dengan fadhilat atau kelebihan yang terdapat dalam perkara-perkara sunat selepas berwuduk. Oleh itu jangan ia dilepaskan begitu saja. Antara perkara-perkara sunat selepas mengambil wuduk ialah:

1. Membaca Doa Selepas Berwuduk

Sunat membaca doa setelah sempurna berwuduk. Adapun antara kelebihan membaca doa selepas wuduk ada disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Umar al-Khatthab r.a. sabda Rasulullah s.a.w.

Sunat membaca doa selepas wuduk

“Tiada sesiapapun di antara kamu yang berwuduk lalu dia menyempurnakan wuduk tersebut (dengan sebaik-baiknya), kemudian dia mengucapkan:

“Asyhadu an laa ilaha illallah, wa anna muhammadan a’bduhu warasuluhu”

(Maka tiada ganjaran) melainkan dibukakan untuknya pintu-pintu syurga yang lapan, dia akan masuk (ke syurga) melalui mana-mana pintu yang disukainya.” – HR Muslim


2. Membaca Surah al-Qadr

Setelah selesai membaca doa selepas berwuduk, sunat dibaca surah al-Qadr sebanyak 3 kali dengan menghadap kiblat tetapi tidak perlu menadah tangan dan memandang ke atas. Ini berdasarkan sebuah hadis yang ditakhrij oleh ad-Dailami bahawa sesiapa yang
membacanya setelah selesai berwudhu sebanyak:

• Satu kali: Dia tergolong antara para as-siddiqun, iaitu orang-orang yang benar-benar beriman (zahir dan batin).

• Dua kali: Dimasukkan dalam golongan para syuhada’.

• Tiga kali: Allah mengumpulkannya pada hari Kiamat kelak bersama-sama para anbiya’.

Setelah itu disunatkan membaca doa berikut:

Ertinya: “Ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah rumahku (supaya aku merasa selesa), berkatilah rezekiku dan janganlah Engkau fitnahkan aku dengan apa jua perkara yang Engkau jauhkannya daripadaku

3. Solat Sunat Wuduk

Setelah sempurna berwuduk, sunat mendirikan solat sunat wuduk sebanyak dua rakaat. Solat sunat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sekalipun pada waktu-waktu
yang ditegah mengerjakan solat. Ia didirikan dalam waktu yang terdekat, iaitu setelah selesai daripada mengambil wuduk.


Adapun fadhilat (kelebihan) mengerjakan solat sunat dua rakaat setelah berwuduk adalah sangat besar seperti yang telah dinyatakan dalam beberapa hadis antaranya:

a. Memberi peluang untuk masuk ke syurga

(i) Abu Hurairah r.a. meriwayatkan perbualan antara Rasulullah s.a.w. dengan Bilal r.a.

Solat sunat wuduk adalah salah satu dari solat sunat yang beroleh ganjaran yang sangat besar dari Allah SWT


“Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Bilal ketika (selesai) solat fajar (Subuh), “Wahai Bilal, ceritakanlah padaku amalan apa yang paling kamu harapkan melakukannya dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi sepasang terompahmu di hadapanku di dalam Syurga.”

Bilal berkata: “Tidak ada amalan yang aku lakukan yang paling aku harapkan kecuali (ada satu amalan, iaitu) aku tidak berwuduk satu wuduk pun pada waktu malam ataupun siang, melainkan aku solat dengan wuduk itu, sepertimana yang telah ditetapkan untukku melakukan solat (sama ada fardhu atau sunat pada iktikad Bilal).” – HR Bukhari

(ii) Manakala dalam riwayat lain daripada Abu Buraidah bahawa Rasulullah s.a.w. memanggil Bilal r.a. lalu bertanya bagaimanakah dia mendahului Baginda di syurga. Bilal pun menjawab,

Dan aku tidak pernah didatangi hadas melainkan aku (segera) mengambil wuduk bilamana aku berhadas. Dan aku mengambil pendirian (kerana rasa syukur, aku membuat pilihan) bahawa demi Allah ke atasku (solat) dua rakaat.”

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dengan kedua-dua amalan itu.” (iaitu berwuduk apabila berhadas dan solat dua rakaat setiap kali berwuduk maka Bilal memperolehi apa yang didapatnya).” – HR Tirmizi


b. Diampunkan dosa-dosa kecil

Riwayat daripada Humran, hamba kepada Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan r.a. bahawa dia melihat tuannya berwuduk kemudian beliau berkata, “Aku (‘Utsman) telah melihat Rasulullah mengambil wuduk seperti cara wuduk ku ini.”

Kemudian Baginda bersabda, “Barangsiapa yang berwuduk seperti wuduk ku ini, kemudian (setelah berwuduk) dia solat dua rakaat, yang mana dia tidak berkata-kata pada dirinya dalam kedua-dua rakaat solatnya itu, nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.” – HR Bukhari dan Muslim

Adapun maksud “Dia tidak berkata-kata pada dirinya” ialah tidak memikirkan perkara yang berkaitan dengan keduniaan dan perkara yang tidak ada hubung-kait dengan solat (dengan sengaja). Manakala yang dimaksudkan dengan “diampunkan baginya dosanya” itu ialah dosa-dosa kecil. Wallahu a’lam

____________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram