Autisme adalah satu gangguan dalam proses tumbesaran kanak- kanak. Gangguan ini akan mengakibatkan berlakunya masalah tingkah laku, komunikasi dan juga pertuturan.
Gejala autisme ini dapat dikenal pasti sebelum seseorang kanak-kanak itu berusia tiga tahun. Kebiasaannya, autisme tidak dapat dikesan oleh ibu bapa sehinggalah mereka mendapati bahawa anak mereka masih belum dapat bertutur.
Kanak-kanak yang menghidap autisme kelihatan seperti kanak-kanak normal tetapi mereka berlainan dari segi tingkah laku dan mengalami pola perkembangan yang berbeza.

Namun begitu, kanak-kanak autisme juga mempunyai kelebihan tersendiri. Kebanyakannya menonjol dalam bidang matematik, kemahiran mekanikal dan seni muzik. Antara individu yang berjaya dan menjadi orang ternama walaupun menghidap autisme ialah Albert Einstein, Bela Bartok dan Bill Gates.
Walau bagaimanapun, bukan semua kanak-kanak autisme akan menunjukkan tanda-tanda ini. Terdapat juga yang menunjukkan kelakuan berlainan daripada yang biasa dilakukan oleh kanak-kanak autisme yang lain. Hal ini sama seperti kanak-kanak normal yang mempunyai perwatakan yang berbeza-beza pada setiap individu.


CARA MENDIDIK
Memiliki anak istimewa merupakan satu cabaran yang besar kepada ibu bapa. Anak istimewa memerlukan lebih banyak perhatian dan penjagaan oleh ibu bapa. Selain memberikan rawatan dari segi perubatan, mereka juga perlu dihantar ke sekolah seperti kanak-kanak seusia mereka.
Kanak-kanak autisme haruslah dihantar ke sekolah khas seelok-eloknya ketika mereka masih kecil. Kebanyakan mereka akan mengalami masalah terencat akal, namun dengan pendidikan yang sempurna sejak kecil, mereka mampu memiliki kehidupan yang baik dan mungkin akan lebih berjaya daripada individu yang normal.

Selain itu, rawatan terapi juga dapat membantu kanak-kanak ini membesar dan belajar dengan lebih baik. Setiap rawatan terapi hendaklah disyorkan dan dikendalikan oleh pakar.
Namun di rumah, ibu bapa sendiri boleh melakukan rawatan ini seperti terapi kelakuan dan terapi pelukan. Terapi ini dapat mengeratkan lagi hubungan fizikal dan emosi di antara anak dan ibu bapa.
Paling penting ialah sokongan moral daripada ahli keluarga. Adanya sokongan ini, mereka akan dapat berdikari dan mampu untuk menguruskan diri sendiri apabila dewasa kelak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga yang lain.
Kanak-kanak autisme perlu dikesan awal agar anda dapat memberikannya latihan awal supaya potensi mereka terserlah dan dapat ditingkatkan hingga ke tahap yang maksimum.
