Noor Jan Tuah

INDIVIDU yang pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya sebagai ‘Sultan Melaka’, Noor Jan Tuah dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, hari ini.

Allahyarham, 64, difahamkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi hari ini.

Kematian Noor Jan dari Taman Seri Gombak dimaklumkan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menerusi akaun Facebook, miliknya.

“Assalamualaikum. Dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuanku Raja Noor Jan Shah telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

“Salam takziah buat mak engku Tuanku Zaidatul Mardiah Yussuf serta seluruh ahli keluarga dan kerabat,” katanya hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda Gombak pada pukul 3 petang ini.

Noor Jan yang mendakwa dirinya Sultan Melaka pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka pada 2016 dengan empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah.

Noor Jan didakwa menyamar sebagai Sultan Melaka dengan mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kepada empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun, pada 28 Disember 2013.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, namun pada Julai 2018, Mahkamah Sesyen Air Keroh melepas dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, namun pada April 2019, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan Noor Jan.

Keputusan dicapai berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berhubung empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka dan Mahkamah Rayuan Putrajaya turut mengekal pembebasan Noor Jan pada Januari tahun lalu.