Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan di Istana Negara. GAMBAR: Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri, 61, mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lepas, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Istana Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu diumumkan, selepas berlangsungnya Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah selama dua jam di Istana Negara semalam.

Pada 17 Ogos lepas, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ketua dan wakil parti-parti politik utama negara dan pada hari sama, menitahkan kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration) yang perlu dihantar kepada Istana Negara sebelum 4 petang, Rabu.

BERITA BERKAITAN Ismail Sabri angkat sumpah PM-9 esok, dapat sokongan 114 ahli Parlimen

Menerusi surat akuan itu, Ismail Sabri yang menggalas jawatan timbalan perdana menteri sebelum ini, mendapat 114 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan membentuk kerajaan. – UtusanTV

Dalam kerajaan terdahulu, Ismail Sabri turut memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi COVID-19 negara.

Bernama melaporkan turut berangkat pada istiadat hari ini adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ismail Sabri, 61, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Upacara itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Turut hadir empat anak dan menantu Ismail Sabri iaitu Datin Nina Sabrina dan suaminya Datuk Jovian Mandagie, Gadaffi, Nashriq dan isterinya Aiman Shaheerah Faeiz, serta Iqbal.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram