PENGAMBILAN suntikan vaksin dalam kalangan anggota tentera adalah diwajibkan terutama sebelum melaksanakan sesuatu tugasan.

Pengecualian hanya diberikan kepada anggota yang berada dalam kumpulan tidak layak menerima vaksin.

Perkara itu ditegaskan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan susulan penularan laporan berita melibatkan seorang Sarjan dipecat kerana menolak vaksin COVID-19.

Menurut kenyataan itu, keengganan seseorang anggota tentera untuk menerima vaksin boleh menyebabkan dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) diwajibkan atas dasar hidup secara berkelompok.

Baca artikel berkaitan: 750 anggota ATM bantu hospital di Lembah Klang

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahu pun latihan turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19.

“Sehubungan itu, wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja berlaku dalam kalangan anggota bahkan boleh menjangkiti keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Sel Perhubungan Raya Markas TDM berkata, amalan memperoleh vaksin itu juga bertujuan mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok seterusnya memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Setiap anggota TDM hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan bagi menentukan misi atau kesiapsiagaan organisasi tercapai,” jelasnya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan diberhentikan ekoran enggan mengambil suntikan vaksin walaupun selepas 19 tahun berkhidmat tanpa sebarang rekod disiplin.

Menurut laporan tersebut, Sarjan Wan Ramly Wan Seman, 39, dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan akan kehilangan pencen yang layak diperolehnya dalam tempoh 16 bulan lagi.

Arahan pemberhentian perkhidmatan itu dikeluarkan Kementerian Pertahanan dan berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram