Pendakwah terkenal, Ebit Lew GAMBAR: Abd Razak Aid

PIHAK polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew dengan keterangan mangsa terlibat sudah direkodkan.

Walau bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, belum ada perkembangan terkini dapat diberikan berkaitan siasatan melibatkan Ebit.

Pada masa sama, Abd. Jalil juga enggan mendedahkan mangsa dan berapa ramai saksi yang hadir untuk membantu siasatan.

Kata beliau, polis juga masih menunggu saksi-saksi lain untuk tampil.

“Masih belum ada apa-apa terkini berhubung kes Ebit,” kata beliau ringkas kepada UtusanTV hari ini.

Khamis lalu, Abd. Jalil mengesahkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman.

Baca berita berkaitan: Polis serbu kediaman Ebit Lew cari bukti

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Abd. Jalil, siasatan akan diteruskan sehingga polis berpuas hati dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Ebit yang tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi mendakwa telah dipanggil polis ekoran fitnah yang disifatkannya sebagai kejam dan melampau.

“Saya dipanggil hari ini untuk membantu siasatan dan saksi terhadap tuduhan dan gosip di luar sana.

“Saya telah membantu, terserah sepenuhnya kepada polis. Ini satu fitnah yang kejam dan melampau tetapi saya reda,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram