Cara Allah berinteraksi dengan hamba

Antara 25 orang rasul, hanya nabi Musa a.s. dan nabi Muhammad s.a.w. sahaja diberi keistimewaan untuk berinteraksi dengan Allah secara langsung. Namun bagi rasul yang lain, mereka berinteraksi melalui perantaraan malaikat Jibril.

Manakala untuk manusia biasa pula, sesuai dengan status kita yang bukan nabi, maka Allah S.W.T. tidak berbicara secara langsung, sebaliknya ia berlaku secara tidak langsung ketika dalam keadaan sedar atau tidak. Bagaimana ia berlaku?

Mari kita rujuk firman Allah dalam surah as-Syura: 51. Ayat ini jelas menerangkan bagaimana Allah memberi respon dan menjawab segala persoalan serta permintaan kita.

Dan tidaklah patut bagi seorang manusia bahawa Allah akan berbicara kepadanya kecuali dengan perantaraan wahyu atau dari belakang tabir atau dengan mengutus utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.”

Pentafsiran ayat di atas menunjukkan bahawa terdapat tiga kaedah yang Allah gunakan untuk berinteraksi kepada hambanya sama ada melalui wahyu, berlaku di sebalik hijab dan melalui utusan para malaikat.

Melalui Wahyu

Menurut Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), wahyu bersifat umum. Ia hanya berlaku kepada para nabi dan rasul dalam bentuk yang pelbagai. Bagi nabi ia merupakan wahyu yang diterima di mana akhirnya dia menjadi seorang nabi.

Sebaliknya bagi manusia biasa, Allah berbicara melalui dua cara iaitu ilham ketika sedar dan mimpi ketika dalam tidur. Jika kita merujuk kitab Madarijus Salikin karangan Ibnu Qayyim, beliau menyatakan mimpi manusia merupakan kalam (kata-kata) bicara Allah dengan hamba sewaktu mereka tidur. 

Ilham atau mimpi yang datang perlu diperhalusi kerana belum tentu ia datang dari Allah

Walaubagaimanapun, ilham atau mimpi yang datang itu perlu diperhalusi kerana bukan semua datangnya dari Allah. Ada yang datang dari malaikat yang di suruh Allah, ada dari syaitan laknatullah, dan ada yang datang dari hawa nafsu kita sendiri.

Tambahnya, berinteraksi dalam bentuk ilham, seolah kita rasa demikian. Dan jangan dianggap sepertimana bercakap dengan sesama manusia, kerana itu tidak benar sama sekali serta bersalahan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Ilham adalah pengaruh yang Allah berikan dalam jiwa seseorang hingga mendorongnya untuk mengerjakan atau meninggalkan sesuatu. Ia tergolong dalam wahyu yang Allah khususkan bagi sesiapa sahaja di antara hamba-hamba-Nya yang dikehendaki.  Firman Allah surah as-Syams: 7-8

Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan atau ketakwaannya.”

Makhluk dan Allah adalah dua entiti yang berbeza, jadi mana mungkin kita dapat membayangkan komunikasi antara Allah dan makhluk sama sebagaimana berbicara makhluk sesama makhluk. Jadi jika menggambarkan sebagaimana ketika nabi Musa a.s. bercakap dengan Allah itu tidak tepat sama sekali, kerana ia bukan seperti yang kita gambarkan dengan menggunakan perkataan.

Dalam hadis yang lain Baginda s.a.w. bersabda,

“Mimpi baik yang berasal dari seorang yang soleh adalah satu bahagian dari 46 bahagian an-nubuwwah (kenabian).” – HR Bukhari & Muslim

Jelasnya, an-nubuwwah yang disebut dalam hadis itu bukan bermaksud kenabian tetapi adalah wahyu. Maka itu boleh dikata bahawa Allah meletakkan bicaranya dalam hati manusia melalui ilham.

Ilham ini juga berlaku kepada Mariam ketika mengandungkan nabi Isa a.s. kerana dia bukannya nabi. Begitu juga yang berlaku kepada ibu nabi Musa a.s. yang disuruh untuk menghanyutkan nabi Musa a.s. ke sungai Nil.

Di Sebalik Hijab

Dalam kisah nabi Musa a.s. berbicara dengan Allah di bukit Sinai, Baginda tidak melihat rupa Allah tetapi hanya sekadar mendengar suara sahaja. Keadaan ini yang dikatakan berlaku disebalik hijab.

Bagaimanapun bagi Nabi s.a.w. di Sidratul Muntaha, terdapat khilaf di kalangan ulama. Ada yang berkata Baginda bertemu Allah secara langsung, namun akhirnya mereka berdiam diri. Sebab itu sesetengah ulama seperti as-Suyuti mengatakan dalam konteks ini, Allah dan rasul sahaja yang lebih tahu.

Bagi orang lain tidak boleh berbicara secara panjang lebar kerana perkara ini bersangkut paut dengan hal-hal yang melibatkan perkara ghaib. Bagaimanapun dalam hadis lain menyatakan, dia tidak melihat rupa Allah tetapi hanya cahaya sahaja, dan itupun dikira di sebalik hijab.

Utusan Malaikat

Satu lagi kaedah bagaimana Allah berinteraksi dengan hambanya adalah melalui perantaraan malaikat Jibril. Keadaan ini juga biasa berlaku kepada Baginda s.a.w. ketika mana menerima wahyu dari Allah.

Dalam sebuah hadis Baginda s.a.w. ada bersabda bahawa,

“Sesungguhnya ruh al-Qudus (malaikat Jibril) membisikkan ke dalam hatiku bahawa jiwa itu tidak akan mati hingga telah sempurna rezeki dan ajalnya. Maka bertakwalah kalian kepada Allah dan berlaku baiklah dalam mencari rezeki.”

Kedatangan Jibril ketika menyampaikan wahyu pelbagai, ada ketikanya ia tidak berbentuk sebagaimana hadis di atas, dan ada ketikanya pula ia datang dengan berbentuk persis manusia, seperti yang diriwayatkan oleh Umar r.a. dalam hadis berkaitan rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan, katanya,

Sedang kami duduk dalam sebuah majlis bersama Rasulullah pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya.

Lalu duduk ia bersama Rasulullah dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Baginda s.a.w. serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua peha Rasulullah lalu berkata si pemuda, “Khabarkan aku tentang Islam dan dan khabarkan aku tentang Iman.”

Selesai bersoal jawab dengan Baginda s.a.w. beredarlah pemuda tersebut dari majlis. Bertanya Rasulullah “Tahukah anda wahai Umar, siapakah pemuda tadi?” Jawab Umar, “Allah dan Rasul jua yang mengetahui.” Berkata lagi Baginda, “Itulah Jibril yang mendatangiku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.” – (HR Muslim)

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram