SEORANG remaja yang buta kedua-dua belah matanya, duduk di tepi sebuah bangunan di tengah ibu kota, dengan pakaian kotor dan wajah comot. Di hadapannya diletakkan sebuah bekas plastik dan sekeping kertas tebal yang tertulis perkataan; ‘SAYA BUTA, BANTULAH SAYA’.

Di dalam bekas plastik itu hanya kelihatan beberapa keping duit syiling. Hanya itu saja yang diperolehnya hari itu walaupun sudah hampir tiga jam meminta sedekah.

Tiba-tiba, seorang lelaki berpakaian kemas datang dan berdiri di hadapannya. Lelaki itu mengeluarkan beberapa keping duit syiling lalu memasukkan ke dalam bekas plastik di hadapan remaja tersebut. Kemudian lelaki itu menterbalikkan kertas tebal tersebut dan menulis sesuatu di permukaannya.

Kertas tersebut diletakkan kembali di sisi bekas plastik di hadapan remaja buta, dan lelaki itu pun berlalu. Tanpa diduga, selepas lelaki berkenaan pergi, semakin ramai orang yang menderma. Bukan sekadar duit syiling, malah not-not biru, hijau dan merah juga masuk ke dalam bekas plastik di depan remaja berkenaan.

Selepas lelaki itu pergi, tiba-tiba ramai yang mula menderma kepada anak yang buta ini.

Beberapa jam berlalu, tiba-tiba lelaki berpakaian kemas itu kembali dan menegur remaja buta.

“Encikkah yang tukar tulisan pada kertas saya ni?” tanya remaja itu.

“Ya.”

“Apa yang encik tulis?”

“Saya tulis perkara yang sebenar. Saya tulis awak ini buta, tapi dengan cara yang berbeza.”

Dunia ini indah, yang berbeza adalah cara kita melihatnya.

Apa yang ditulis oleh lelaki itu ialah; “Hari ini sungguh indah, tapi sayang, saya tidak dapat melihatnya.”

Pembaca sekalian… bersyukurlah dengan kurniaan Tuhan kepada kita, sentiasa positif, kreatif dan selalulah melihat sesuatu dari sudut yang berbeza.

————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam