Perdana Menteri sempat memberikan kata-kata semangat kepada kontinjen Malaysia ke Paralimpik Tokyo 2020 yang akan mengibarkan cabaran negara mulai hari ini hingga 5 September depan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat memberikan kata-kata semangat kepada kontinjen Malaysia ke Paralimpik Tokyo 2020 yang akan mengibarkan cabaran negara mulai hari ini hingga 5 September depan.

Dalam sidang video bersama kontinjen negara, Perdana Menteri turut berharap sasaran tiga pingat emas dapat dicapai seterusnya menyaksikan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku berkumandang di bumi Tokyo.

Ketua Kontinjen Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin bersama 22 atlet yang menyertai sembilan jenis sukan dalam temasya itu turut berkesempatan berinteraksi bersama Ismail Sabri.

Turut serta dalam majlis amanat Perdana Menteri itu adalah Senator Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi.

Baca artikel berkaitan: Semoga Jalur Gemilang berkibar, Negaraku berkumandang banyak kali

Perdana Menteri turut mengingatkan kontinjen negara supaya sentiasa menjaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 yang ditetapkan penganjur bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin.

Dalam majlis tersebut, Ismail Sabri percaya dengan semangat tinggi serta latihan dijalankan selama ini, tiada sebab mengapa barisan atlet luar biasa ini tidak boleh berjaya pada temasya sukan berprestiji di Jepun itu.

“Harapan negara kepada anda semua. Di Rio 2016 (Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil), kita berjaya raih tiga emas dan satu gangsa, maknanya tiga kali lagu Negaraku dimainkan di Rio.

“Kalau boleh saya nak supaya banyak kali bendera Malaysia dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di Tokyo,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram