Beginilah keadaan sekitar medan selera yang kurang mendapat sambutan dari orang ramai sehingga menjejaskan perniagaan kedai makan di Pusat Penjaja Dataran Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SYUKUR sangat terima bantuan sebegini. Sepanjang 15 tahun saya berniaga nasi campur, tempoh dua tahun ini paling sukar bagi peniaga kecil seperti saya.”

Demikian kata seorang peniaga, Maimunah Man, 67 ketika ditanya perasaan selepas menerima bantuan keperluan asas daripada Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), hari ini.

Menurut Maimunah, perniagaan kecil yang diusahakannya menerima impak teruk kerana kebanyakan pekerja di sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur telah mula bekerja dari rumah sejak awal penularan COVID-19.

Maimunah Man,67.

Katanya, bantuan yang diterima sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dihadapi akibat kerugian perniagaannya.

“Saya jadi serba salah, kalau saya berniaga akan terus menanggung kerugian, tapi bila tidak berniaga, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik sewa kedai kami.

“Ketika pandemik ini, tiada pelanggan yang datang kedai kami, kami mengharapkan pejabat-pejabat di sekitar kawasan ini, namun memandangkan semua bekerja dari rumah, susah kami untuk mendapatkan pelanggan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seramai 500 peniaga kecil dan penjaja yang terkesan berikutan penularan wabak Covid-19 menerima bantuan keperluan asas yang disampaikan oleh Gas Malaysia dan PPZ-MAIWP.

Penjaja-penjaja di Pusat Penjaja Dataran Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam, menerima sumbangan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, biskut dan sardin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM50,000.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap, sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab, syarikat itu berpegang kepada pandangan bahawa perniagaan yang berjaya dibina atas asas kukuh yang menyumbang ke arah kebaikan kehidupan, terutamanya kepada kehidupan mereka yang kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap (kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima-penerima sumbangan yang terdiri daripada peniaga kecil pada Majlis Penyampaian Sumbangan Keperluan Harian oleh Gas Malaysia dan PPZ-MAIWP di Dataran Sri Angkasa Jaya, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Pihak Gas Malaysia berharap dengan sedikit bantuan ini dapat meringankan beban peniaga-peniaga yang terkesan ketika pandemik ini.

“Kami menyasarkan kepada peniaga-peniaga kecil ini kerana mereka adalah golongan yang paling terkesan ketika wabak COVID-19 melanda negara kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Sumbangan Barangan Keperluan di Pantai Dalam, hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, inisiatif ini merupakan sumbangan tambahan kepada mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

“Dengan ini, kami memohon kepada lebih ramai orang untuk membayar zakat di PPZ-MAIWP supaya kami dapat memberi bantuan kepada lebih ramai lagi orang yang memerlukan bantuan,” jelas beliau.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Norhalmi Abdul Halim, 49 berkata, sumbangan yang diterima hari ini dapat digunakan bagi membeli keperluan harian.

NorHalmi Abdul Halim,49.

Dia turut berharap pihak berwajib dapat menaik taraf kawasan penjaja memandangkan jalan masuk yang terlalu jauh dengan jalan utama.

“Itu belum lagi masalah lain yang kami perlu hadapi seperti ruang kedai yang sempit dan juga jumlah pelanggan yang semakin merosot,” katanya.

Beginilah keadaan sekitar medan selera yang kurang mendapat sambutan dari orang ramai sehingga menjejaskan perniagaan kedai makan di Pusat Penjaja Dataran Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid