CO-OP Bank Pertama (CBP) mengumumkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM58.3 juta yang juga jumlah tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak tahun 1950.
Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, jumlah RM58.3 juta itu merupakan peningkatan sebanyak 28.7 peratus berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM45.3 juta.
Katanya, peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 92,459 anggota CBP yang layak manakala jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900 juta setakat 31 Disember 2020.
“Kadar dividen bersih bagi tahun 2020 adalah sebanyak 6.7 peratus bagi syer keutamaan iRCPS dan 6.0 peratus bagi syer biasa.
“Pembayaran dividen ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan Anggota CBP dan pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan CBP, secara atas talian melalui laman sesawang CBP atau melalui aplikasi mobil MyCoopbank bermula 27 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca artikel berkaitan: CBP lulus 47,413 permohonan moratorium PEMULIH
Co-opbank Pertama dinobat koperasi terbaik negara
CBP buka cawangan ‘stand-alone’ Ar-Rahnu dan premis perbankan di Setapak
Menurut Kamari Zaman, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan permohonan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) CBP bagi tahun kewangan 2020 pada 23 Ogos 2021.
Katanya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM85.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 15.9 peratus dari tahun 2019 yang berjumlah RM73.9 juta.
Jelas beliau, jumlah keanggotaan CBP juga telah meningkat dengan penambahan 1,039 anggota baharu dengan jumlah keseluruhan anggota pada tahun 2020 sebanyak 92,459.
“Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh Pengurusan CBP terutamanya semasa mendepani suasana pertumbuhan perniagaan yang agak perlahan dalam tempoh pandemik COVID-19,” jelasnya.
Sementara itu, ujarnya, kelewatan pengumuman dividen adalah disebabkan penukaran juruaudit yang dilantik yang memerlukan proses perlantikan dilaksanakan semula yang perlu mendapatkan kelulusan dari pengawal selia.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram