lelaki parasit

TERDAPAT sejenis kaum lelaki di luar sana yang dikenali sebagai lelaki parasit. Lelaki seperti ini hanya mementingkan diri sendiri dan mahu hidup senang dengan mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain.

Kebanyakan yang menjadi mangsa adalah golongan wanita yang bekerjaya, namun masih mentah dalam bercinta atau mungkin terlalu buta untuk menyelami hati budi sebenar lelaki jenis ini. Akhirnya, bukan sahaja hati yang terluka, tetapi duit dan harta juga mungkin tergadai atas janji-janji manis yang ditaburkan.

Bagaimana hendak mengenali lelaki jenis ini? Awas! Ini 5 ciri- ciri utama lelaki parasit dan bagaimana hendak mengelakkan diri dari menjadi mangsa tipu daya mereka.

CIRI-CIRI LELAKI PARASIT

Bijak Bermain Kata-Kata

Ada lelaki jenis ini yang sanggup berlakon dan menipu seperti dikhianati bekas isteri demi menagih simpati teman wanita baru. Ada pula jenis yang pandai memujuk, mengambil hati dan sering menaburkan janji-janji manis. Yang pastinya, lelaki jenis ini sanggup membuat apa sahaja demi mendapat apa yang mereka ingini.

Gemar Beri Alasan

Kebanyakan lelaki parasit tidak komited dalam perhubungan atau kerja yang diusahakan. Mereka suka menyalahkan orang lain sekiranya nasib tidak menyebelahi mereka. Mereka sentiasa berasa diri mereka benar walaupun hakikat adalah sebaliknya. Karakter ini menyebabkan mereka sering mempunyai alasan bagi semua perkara yang berlaku dalam hidup mereka.

Tidak Mempunyai Pendapatan Tetap

Kebanyakan lelaki jenis ini malas berusaha dan tidak punca pendapatan yang tetap. Bagi yang melabelkan diri sendiri sebagai usahawan, berkemunginan besar ia sebenarnya adalah terma yang merujuk kepada hakikat mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengharapkan projek kecil yang datang satu atau dua kali setahun sahaja untuk menyara hidup. Perniagaan yang diusahakan juga mungkin bukan milik mereka, sekadar membantu kawan sahaja. Sepanjang masa tidak berduit, mereka tanpa malu akan menumpang di rumah kawan atau ibu bapa sebelum “diselamatkan” oleh teman wanita baru yang terpedaya dengan cerita mereka.

Tidak Segan Meminta Dan Sama Sekali Tidak Menolak Pemberian Orang Lain

Pada awalnya, kenderaan teman wanita digunakan untuk menghantar dan mengambil wanita tersebut dari tempat kerja. Kemudian ia digunakan setiap kali keluar bersama teman wanita. Akhirnya kenderaan dipinjamkan terus dan digunakan untuk tujuan peribadi seperti berjumpa dengan kawan-kawan di kedai kopi atau melawat ahli keluarga di kampung. Segala perbelanjaan juga ditanggung menerusi duit yang diberikan atau dipinjamkan oleh teman wanita.

Tidak Komited Dan Hanya Mementingkan Diri Sendiri

Sebagai seorang lelaki dewasa yang belum berkahwin, tanggungjawab utama adalah menjaga ibu bapa masing-masing. Sebagai seorang duda yang mempunyai anak, tanggungjawab seorang bapa adalah untuk menyara perbelanjaan makan minum anak sehingga mereka dewasa, tidak kira samada anak di bawah jagaan bekas isteri atau tidak. Kebanyakan lelaki parasit tidak mengambil serius tanggungjawab ini dan hanya memikirkan tentang kesenangan diri sendiri.