Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee membuat satu laporan polis terhadap seorang individu yang merupakan rakan baiknya berhubung pecah amanah yang menyebabkan dia kerugian wang sebanyak RM70,000.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 30, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pagi, Rabu.

“Laporan polis saya buat hari ini adalah disebabkan kes pecah amanah ke atas orang yang sangat saya percayai. Orang yang saya bawa masuk ke dalam industri seni.

“Saya memang tak sangka dengan apa yang dia buat sebab dia sudah kacau periuk nasi saya, malukan saya dan fitnah saya macam-macam kepada produksi serta kawan-kawan saya.

“Sudahnya, dia pergi songlap duit saya. Setakat ini, duit saya yang hilang dekat RM70,000. Duit saya bekerja tahun ini, saya tak merasa langsung duit itu. “Duit hasil saya berlakon, duit hasil saya kerja

 “Dia memanipulasikan WhatsApp saya dan hantar mesej kepada semua klien saya. Mereka semua percaya dan memindahkan semua wang tersebut ke dalam peribadinya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Satu Peluang ini, dia mula mengesyaki perkara tersebut sejak Jun kerana dia tidak memperoleh pendapatan untuk projek yang dilakukan sejak awal tahun ini.

“Saya sedar ada sesuatu yang tak kena. Duit job saya dari awal tahun tak masuk-masuk. Dia bagi macam-macam alasan. Dia cakap resit hilang, klien tak bayar lagi walhal klien dah bayar. Rupa-rupanya dia yang ‘makan’ duit itu.

“Saya sudah bersemuka dengan dia, tapi apa dia buat? Dia main telefon depan saya. Dia buat endah tak endah. Saya mahukan penjelasan tapi dia buat tak tahu saja. Bukti semua ada. Sebab itu saya berani tampil membuat laporan polis,” cerita Andi.