BAGI anda yang membesar sekitar tahun 70-an dan 80-an, pernah dengar kisah pemenggal kepala?

Legenda tentang pemenggal kepala ini pernah berlegar satu ketika dahulu sehingga membuat orang gerun mendengarnya. Apatah lagi dikatakan si pemenggal itu akan menyembelih mangsa hingga bercerai kepala dari tubuh.

Kisah tentang pemenggal atau penyabit kepala ini suatu ketika dahulu pernah heboh di sekitar semenanjung terutamanya di daerah Kerian, Perak, daerah Kuala Lipis, Pahang, daerah Kuala Selangor, Selangor dan juga di beberapa daerah lain di bahagian selatan tanah air.

Kononnya, kepala manusia perlu dipenggal untuk ditanam bersama cerucuk jambatan yang hendak dibina. Ia dikatakan berfungsi untuk mengukuhkan sesuatu binaan dari aspek spiritual.

Kononnya pemenggal kepala akan mencari kepala untuk ditanam bersama cerucuk jambatan.

Berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, kepala kanak-kanak sering kali digunakan untuk melaksanakan upacara ini kerana golongan kanak-kanak dianggap lebih suci berbanding orang dewasa. Tambahan pula lebih mudah dilakukan terhadap kanak-kanak kerana mereka sukar untuk melawan.

Modus operandinya mudah iaitu culik, bunuh dan kepala mereka akan dipenggal. Seterusnya kepala tersebut akan ditanam bersama cerucuk binaan sewaktu proses piling. Ia akan kekal di situ selagi binaan atau jambatan tersebut tidak runtuh atau dimusnahkan. Pendek kata, itulah tempat persemadian mereka yang hanya bernisankan tiang jambatan.

Si penyabit atau si pemenggal kepala pula sering kali digambarkan sebagai seorang lelaki asing yang berperwatakan bengis serta berhati kering. Mereka akan merayau-rayau di sekitar kawasan kampung berdekatan dengan tempat pembinaan untuk mencari mangsa yang sesuai bagi melaksanakan upacara tersebut. Salah satu ciri pemenggal yang turut digambarkan ialah lelaki yang menjinjing unjut kain.

Gambar sekadar hiasan.

Kerana itu apabila tersebarnya berita tentang sesuatu projek baru atau rancangan pembinaan jambatan akan dijalankan, penduduk di kawasan sekitar terutamanya kanak-kanak akan berasa kecut perut apabila mengenangkan tentang legenda ini. Serta-merta pelbagai gambaran kematian bermain di kepala – diserang, diculik dan dibunuh. Ia akan diakhiri dengan penyembelihan, sehingga memisahkan kepala dan tubuh.

Kanak-kanak akan dilarang untuk keluar dari rumah. Hatta, hendak ke sekolah sekalipun perlu berteman. Sekiranya terserempak dengan lelaki asing yang tidak dikenali, mereka akan segera bertempiaran lari. Apatah lagi jika lelaki tersebut menjinjit unjut kain yang mencurigakan.

Sama ada perkara ini benar-benar berlaku atau sekadar mitos semata-mata, sukar untuk dipastikan kesahihannya. Namun, berdasarkan dakwaan sesetengah pihak, kemungkinan legenda ini adalah suatu hakikat yang pernah berlaku beberapa dekad lalu, tetapi ritual tersebut telah lenyap ditenggelamkan oleh gelombang kemodenan dan arus undang-undang.

Jika dilihat dari aspek kejuruteraan pula, mana mungkin kepala manusia mampu membuatkan struktur suatu binaan menjadi kukuh. Sudah pasti, ia adalah suatu perkara yang tidak logik dan tidak boleh diterima dek akal.

Kisah legenda pemenggal kepala ini boleh dilihat dari dua aspek yang berbeza. Pertama, ia mungkin satu ritual yang benar-benar pernah berlaku pada zaman dulu yang mana ia dijalankan sebagai perantaraan dengan alam ghaib.

Kedua, ia juga dianggap sebagai satu muslihat kekangan yang dilakukan oleh orang-orang tua terhadap golongan kanak-kanak dan remaja. Bila anak-anak takut dengan kisah pemenggal kepala ini, tidaklah mereka berani keluar berkeliaran.

Jika dilihat dari aspek spiritual, mahu tak mahu kita perlu akui kewujudan alam ghaib. Sejak dahulu kita sering dimomokkan bahawa suatu lokasi baru yang hendak dibangunkan biasanya ‘dijaga’ oleh makhluk lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Justeru, satu upacara perlu dijalankan terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang masalah teknikal. Salah satunya, mungkin berkaitan dengan legenda pemenggal kepala ini.

Perkara ini biasanya dilihat sebagai suatu amalan tahyul kerana ia bersifat pemujaan. Bagaimanapun, ada juga pihak yang menggunakan pendekatan lebih Islamik untuk menghalang sebarang gangguan yang tidak diingini.

Apa sahaja kaedah yang digunakan, ia dianggap sebagai proses rundingan dengan makhluk ghaib. Selalunya, orang tengah yang menjalankan upacara ini dikepalai oleh dukun atau pawang. Malah, tradisi pemujaan begini masih lagi berlaku sehingga sekarang termasuk di luar negara, sekalipun kita sudah berada pada zaman moden.

Kadangkala, sesetengah pemujaan itu menuntut suatu pengorbanan. Biasanya melibatkan penyembelihan haiwan seperti kambing atau ayam hitam. Namun, ada juga pemujaan yang meminta korban jiwa manusia.

Perkara ini bukan benda baru, malah pengorbanan manusia pernah menjadi tradisi beberapa tamadun di seluruh dunia. Contohnya seperti kaum Mayan yang telah pupus dek kerana terlalu taasub dengan budaya pengorbanan manusia atau ‘human sacrifice’ ini.

Sebagai contoh beberapa tahun lalu, akhbar The Times of India telah melaporkan seorang lelaki bernama Abdul Gafoor dan teman wanitanya, Ramala Beevi telah menculik seorang budak lelaki, Khader Yusuf yang berusia setahun setengah dan memenggal lehernya.

Mereka meminum darah kanak-kanak itu sebelum menanam mayatnya di dua tempat berasingan di negeri Tamil Nadu. Lelaki tersebut menyatakan bahawa dia menerima perintah daripada dewa untuk melaksanakan upacara ini melalui mimpinya. Berita ini jelas menunjukkan bahawa ritual pengorbanan manusia masih lagi wujud sehingga sekarang.

Sementara itu, jika legenda ini dilihat dari sudut kedua, ia dijadikan sebagai satu muslihat yang sebenarnya banyak membantu dalam mendidik anak-anak zaman dahulu.

Golongan remaja dan kanak-kanak akan berasa lebih selamat sekiranya berada di rumah. Secara tak langsung, ia  mengelakkan mereka dari menjadi kutu rayau atau terjebak dengan sebarang perlakuan yang tidak sihat.

Bagaimanapun, penerapan cara sebegini tidak lagi sesuai digunakan pada zaman moden. Malah, doktor dan pakar psikiatri sendiri tidak menggalakkan ibu bapa mendidik dan mendisiplinkan anak-anak melalui ancaman dan cerita karut.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare