Noorzainy Mohd. Noor

TINDAKAN seorang wanita mempercayai sepenuhnya individu yang hanya dikenali melalui Facebook, mengundang padah apabila kerugian kira-kira RM46,000 akibat ditipu individu berkenaan.

seorang wanita berusia 28 tahun di Butterworth, Pulau Pinang kerugian kira-kira RM46,000 akibat ditipu individu berkenaan.

Mangsa yang berusia 28 tahun dari Butterworth, Pulau Pinang bekerja sebagai jurujual dan mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang individu di laman sosial terbabit pada pertengahan Julai lalu.

Suspek kemudian mengajaknya menyertai pelaburan tukaran wang asing berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dan suspek telah berhubung melalui aplikasi Messenger di Facebook sebelum bertukar-tukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, mangsa dipujuk menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi beserta pulangan modal.

“Wanita tersebut yang sudah meletakkan kepercayaan kepada kenalan Facebooknya itu membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

Malah ujar beliau, aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyah aktif.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.