Dr Noor Hisham Abdullah.

SEBANYAK 393 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini yang juga jumlah korban tertinggi akibat wabak itu setakat ini.

Sebelum ini, jumlah kematian harian tertinggi yang pernah direkodkan ialah 360 orang pada 8 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 393 kes kematian hari ini, 125 kes dilaporkan di Selangor diikuti 61 kes di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sebanyak 48 kes kematian lagi dilaporkan di Johor, 33 kes di Melaka, 31 kes di Pulau Pinang, 26 kes di Sabah, 20 kes di Negeri Sembilan dan masing-masing 15 kes di Kedah dan Perak.

Katanya, turut dilaporkan sembilan kes di Kelantan, lapan kes di Pahang, serta dua kes di Terengganu.

“Perkembangan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 berjumlah 15,211 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebanyak 100 kematian melibatkan jenazah dibawa ke hospital atau Brought In-Dead (BID) dengan 50 daripadanya bukan warganegara.

Seramai 990 individu positif COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 487 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan, Malaysia mencatatkan kes sembuh tertinggi dalam tempoh sebulan yang lepas iaitu sebanyak 22,657 kes.

Katanya, jika dibandingkan pada 25 Julai 2021, jumlah kes yang didiscaj daripada hospital adalah 1,562 orang dan jumlah ini meningkat kepada 2,153 orang pada 25 Ogos 2021.

“Ini adalah petanda yang positif,” jelasnya.

Tambanya, walaupun pada hari ini negara mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang pandemik, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berada di kategori klinikal 1 dan 2 iaitu 23,939 kes bersamaan 97.3 peratus daripada keseluruhan kes pada hari ini.

Kata beliau, sebanyak 660 kes atau 2.7 peratus pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

“Ini seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negeri. Sehingga 25 Ogos 2021, sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia di mana 56.9 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia telah menerima vaksin.

“Secara keseluruhan, 19,761 kes (80.3 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan COVID-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5,” ujarnya.

Baca artikel berkaitan: 24,599 kes baharu, rekod kes harian tertinggi

Hampir 14 juta lengkap vaksinasi, 423,380 diberi semalam

Sementara itu, terdapat 35 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, tempat kerja mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 21.

Ini diikuti komuniti (tujuh), kumpulan berisiko tinggi (empat), pusat tahanan (satu) dan pendidikan (satu).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram