Nama Fimie Don bukan satu nama yang asing dalam dunia lakonan tanah air. Bakat lakonan yang ada pada pemuda berusia 23 tahun ini tidak perlu dipertikai kerana apa sahaja watak yang diberikan pasti akan dibawa dengan baik.

Terbaharu, lakonan Fimie atau nama sebenar Shafimie Saedon boleh ditonton menerusi drama bersiri Alia Alia arahan pengarah Heykal Hanifah di saluran Astro Prima (105).

Menurut Fimie, dia amat bersyukur dapat kembali ke bidang yang dicintai ini dan berterima kasih kepada Heykal atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada dirinya.

“Sebenarnya sebelum ini saya sudah merajuk dengan industri dan sudah nekad untuk berhenti. Tapi abang Heykal telah berjaya mengubah pendirian saya dan menyebabkan saya disini hari ini.

“Sejujurnya kalau abang Heykal tak panggil saya berlakon dalam drama arahannya, mungkin sampai sekarang saya tidak akan berlakon dah.

“Dia berjaya pujuk dan Alhamdullah saya kini kembali dalam dunia lakonan. Saya harap ia akan berterusan dan saya terus kekal dalam industri,” kata Fimie semasa sidang media virtual drama bersiri Ali Alia pada Selasa.

Salah satu babak Fimie (Ali) dan Erynne Erynna (Alia) dalam drama bersiri Ali Alia.

Bercerita tentang drama bersiri Ali Alia, Fimie yang memegang watak Ali amat berbesar hati dapat terlibat dalam satu naskah yang mempunyai plot penceritaan yang sangat baik.

“Selain jalan cerita yang menarik, drama ini juga menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat yang berjaya membawa watak dengan sangat baik.

“Saya yakin drama ini akan dapat diterima oleh peminat drama tempatan dan mereka akan berpuas hati selepas menonton Ali Alia,” ujar Fimie yang pernah meraih trofi pelakon kanak-kanak terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23.

Selain Fimie, Drama Ali Alia terbitan Luqsar Kreatif Sdn Bhd turut dibintangi oleh Erynne Erynna, Rusdi Ramli dan Faezah Elai selaku teraju utama di samping barisan pelakon handalan seperti Fahrin Ahmad, Usop Wilcha, Sabrina Ali, Faradhiya, Rashid Jaafar, Sharifah Juairiah, Jay Iswazir, Kodi Rasheed dan Mior Hashim Manap.

Drama Ali Alia mula bersiaran mulai 24 Ogos 2021 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang menerusi slot Tiara di saluran Astro Prima (105).