Kamal Affandi bersiaran secara langsung bersama Firdaus Wong dalam bual bicara bertajuk 'Kriminologi : Menjejak DNA Predator Seksual', malam tadi.

“KEPADA raksasa yang berada di luar sana, kalau ada 1,000 raksasa ketahuilah ada 1,000 juga Kamal Affandi, 1,000 Firdaus Wong dan 1,000 rakan-rakan lain di luar sana. Hanya masa tentukan kita berjumpa di haluan sama.”

Demikian kata pengalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dalam nada tegas penuh kejujuran kepada pemangsa seksual yang mungkin sedang selesa ‘berlindung’ di sebalik perwatakan baik demi melempiaskan kejahatan mereka.

Menurut Kamal Affandi dalam siaran langsung bual bicara bersama pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung malam tadi bertajuk ‘Kriminologi : Menjejak DNA Predator Seksual’, beliau turut menyingkap perwatakan pemangsa seksual yang disifatkannya pandai ‘bermain wayang’.

Pada masa sama, Kamal Affandi turut menyatakan sokongan kepada usaha dilakukan Firdaus Wong bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan dan bahaya pemangsa seksual yang berselindung di sebalik ‘topeng’.

“Kalau naratif anda berada di landasan yang betul, kenapa saya tak boleh sokong?

“Tanya kepada sesiapa sahaja yang mengenali saya sama ada berbeza ideologi politik atau sebaliknya, adakah saya pernah memberi komen memihak kepada sesiapa. Memang ada kerana saya memihak kepada kebenaran,” katanya dalam rancangan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Firdaus Wong, malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Mangsa alami distres rohani akibat pemangsa bertopengkan agama

Sejak beberapa minggu lalu, Firdaus Wong yang juga pengasas Pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM) telah berkongsi tentang isu pemangsa seksual bertopengkan agama bagi memberi kesedaran kepada orang awam.

Tindakan itu bagaimanapun tidak disenangi segelintir pihak yang mendakwa Firdaus sebagai membuka aib golongan agamawan.

Walau bagaimanapun, Kamal Affandi berkata, langkah diambil Firdaus Wong itu hanyalah untuk memberi keadilan kepada pemandiri yang telah melalui segala kesengsaraan, kesakitan dan kepayahan dalam hidup mereka.

Menurut beliau, rakyat Malaysia seharusnya berhenti sejenak dan berfikir dengan menggunakan fakta dan tidak terpedaya oleh permainan wayang penjenayah seksual.

“Jangan cela individu yang menaikkan isu ini, kita bawa buka sebab persaingan atau apa sahaja. Ini untuk memberi keadilan kepada mangsa.

“Kalau nak mengejar glamor, itu umpama budak-budak tadika. Kita dah sampai satu peringkat di mana kalau ia terjadi dalam bidang saya pun, saya akan tetap bercakap dalam nada yang sama.

“Anda perlu ingat, musuh yang ada di depan kita mempunyai pelbagai muka, jika tak berhati-hati, kita hanya melengahkan tindakan kepada mereka dan kita juga secara rakus terus memanjangkan penderitaan mangsa.

“Anda nak menyokong kebatilan, silakan. Tiada siapa akan halang tetapi anda harus tahu yang hak akan terus dijunjung oleh orang-orang seperti saya,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram