Dzuleira Abu Bakar (kiri) dan Dr. Sivapalan Vivekarajah

SCALEUP Malaysia dan Technology Park Malaysia (TPM) hari ini menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bertujuan menjalin kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menawarkan bimbingan, latihan, akses pasaran dan modal kepada syarikat permulaan (startup) teknologi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Technology Park Malaysia, Dzuleira Abu Bakar berkata, kerjasama itu bertujuan membantu syarikat-syarikat dalam kategori tersebut memperkukuhkan kemampuan mereka untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat serantau dan juga menarik pelaburan asing.

“ScaleUp Malaysia adalah program pemecut pembangunan usahawan terkenal yang dikendalikan oleh usahawan dan industri veteran. Kerjasama antara TPM dan ScaleUp Malaysia akan memberi peluang lebih baik kepada syarikat permulaan mendapat akses kepada sumber-sumber kerajaan seperti makmal, infrastruktur dan kemudahan lain, serta pemudahan peraturan sehingga inovasi maju.

“Kerjasama ini akan membuka lebih ruang bagi industri untuk mendapat sokongan dari rangkaian, kepakaran dan modal sektor swasta,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran Program Cohort 3 dari ScaleUp Malaysia.

Menurut Dzuleira, pengumuman oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini mengenai pembentukan pemecut pengkomersialan teknologi (TCA) melalui penyatuan TPM dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan mewujudkan peluang luar biasa kepada usahawan, saintis, penyelidik dan juga syarikat permulaan di negara ini mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi dan inovasi mereka.

BERITA BERKAITAN ScaleUp Malaysia lancar program Kohort 3, bantu usahawan masuki pasaran global

“Dalam usaha kami untuk menggalak dan mencipta lebih banyak syarikat permulaan, syarikat ‘scaleup’ dan syarikat ‘unicorn’ masa depan, kerjasama ini dan juga pembentukan TCA akan mendorong kepada pembangunan syarikat-syarikat permulaan lebih baik di Malaysia. Ia juga akan mampu melahirkan lebih banyak syarikat teknologi berjaya di dalam ekosistem negara,” katanya.

Rakan Pengurusan (Managing Partner) ScaleUp Malaysia, Dr. Sivapalan Vivekarajah pula berkata, kerjasama tersebut adalah langkah strategik ScaleUp Malaysia untuk mewujudkan kerjasama yang tepat dengan mendapat sokongan dan sumber kerajaan yang menggabungkan rangkaian, kepakaran dan modal sektor swasta.

“ScaleUp Malaysia akan terus menyokong sektor kerajaan untuk menawarkan latihan, akses pasaran dan modal kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menyumbang ke arah agenda nasional dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang cemerlang, ” katanya.

Kerajaan Malaysia telah meletakkan kepentingan strategik dalam menyediakan ekosistem syarikat permulaan di negara ini melalui inisiatif MyDigital Blueprint. Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) yang diterajui Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) juga menyaksikan momentum yang kuat dalam pengembangan dan pengkomersialan teknologi canggih.

Lebih daripada 2,500 syarikat memohon untuk memajukan dan memperkuat pengembangan produk mereka – dan daripada jumlah tersebut, lebih dari 130 mendapat sokongan daripada segi pengesahan pasaran, pemudahan peraturan, pendanaan dan sebagainya melalui program tersebut.

“Dengan semua inisiatif ini yang telah dilaksanakan, saya yakin dalam masa singkat, Malaysia akan memperbaiki kedudukannya dalam perlumbaan menjadi juara serantau dan global. Kerjasama ini menunjukkan bahawa kita benar-benar kukuh dalam usaha mengembangkan ekosistem. Kerajaan telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam mengembangkan generasi usahawantekno yang berjaya,” kata Dzuleira. – UtusanTV