WALAUPUN ramai pihak mengkritik kabinet baharu yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggapnya ia sebagai sesuai mengikut tempoh kritikal dan mengelak perubahan yang terlalu besar.

Najib berkata, beliau menyedari ramai pengkritik yang kecewa dengan pengumuman kabinet Perdana Menteri sembilan tersebut yang menganggap seolah-olah ia dibarisi menteri dan timbalan menteri daripada orang yang sama sehingga melabelkan ia sebagai ‘kabinet kitar semula.’

“Bagaimanapun, saya faham kenapa Perdana Menteri kesembilan dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berikut. (Ia dibuat) agar mengelak perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Bagaimanapun, katanya, sebenarnya hampir separuh kementerian kerajaan telah bertukar pemimpin.

Antaranya ialah Kementerian Luar Negara; Kesihatan; Pertahanan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Komunikasi dan Multimedia; Wilayah Persekutuan; Tenaga dan Sumber Asli; Pembangunan Luar Bandar; Belia dan Sukan; serta Usahawan dan Koperasi.

BERITA BERKAITAN Senarai penuh Kabinet ‘Keluarga Malaysia’

“Selain itu, menteri-menteri bagi agama, undang-undang dan Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri turut bertukar,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, beliau percaya bahawa dasar Majlis Keselamatan Nasional (MKN) bagi pengawalan COVID-19 juga akan berubah disebabkan ketua MKN juga telah bertukar.

“Dan jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir perlaksanaan dasar akan menghalangkannya.

“Jadi, harapan saya satu sahaja. Bahawa kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian.

“Dan PM9 akan gugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu,” tambahnya.

Najib berkata, beliau akan membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi COVID-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – UtusanTV