Khas buat peminat cerita seram tempatan, Arie Zaharie Production Sdn. Bhd. telah menerbitkan drama berjudul Malaysian Ghost Stories yang memaparkan kisah-kisah seram yang berlaku di negara kita.
Telah pun bersiaran bermula 25 Ogos lalu, Malaysian Ghost Stories menampilkan 18 episod penceritaan kisah seram berkaitan alam mistik legenda yang sering diceritakan secara turun temurun dalam pelbagai versi oleh masyarakat di Malaysia akan ditampilkan dengan sentuhan baharu.
Sebanyak 18 buah cerita hantu yang berlainan akan dibawakan pada setiap episod seperti Nenek Hostel, Hantu Kum Kum, Nenek Kebayan, Jin Pemusnah, Hantu Raya, Hantu Air, Balan-Balan, Pontianak, Langsuir, Pelesit, Hantu Jepun, Pocong, Nu Gui (Hantu Cina), Nishi Dak (Hantu India), Ulek Mayang, Hantu Tiada Kepala, Hantu Barang Antik dan Hantu Jari.

Menurut penerbit Malaysian Ghost Stories, Arie Zaharie, objektif utama naskah ini dihasilkan adalah untuk memaparkan pelbagai kisah hantu yang sering diceritakan di Malaysia sebagai hiburan untuk memberi kelainan.
“Kebanyakan generasi muda zaman sekarang kurang percaya dengan kewujudan entiti seram. Oleh itu, kami cari dan himpunkan semula kisah-kisah tersebut untuk dijadikan asas penceritaan utama.
“Malaysian Ghost Stories mengupas secara terperinci kepelbagaian jenis hantu yang sering didengari di Malaysia agar dapat memberi gambaran dan visual yang jelas mengenai bentuk, rupa dan sifat hantu tersebut serta bagaimana cara untuk mengatasi sebarang gangguan mistik sekiranya ada.
“Setiap kisah yang ditonjolkan sarat dengan nilai murni untuk diambil sebagai teladan dan pengajaran agar kita tidak sewenang-wenangnya mempersendakan kewujudan makhluk ini.

“Daripada segi persediaan untuk menghasilkan drama seram, kami turut mendapatkan khidmat nasihat pengamal dan pakar dalam perubatan Islam sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini sewaktu di lokasi.
“Kami juga bertuah kerana Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Tuan Asmawi turut membuat penampilan istimewa dalam salah sebuah episod.
“Saya mewakili produksi berharap agar drama ini dapat mendedahkan masyarakat tentang kisah-kisah seram dan mistik yang ada di Malaysia sekaligus diterima baik oleh semua,” katanya.
Idea asal drama ini diilhamkan oleh Syawal Azrai serta turut mendapat sentuhan tiga pengarah berbeza yang terdiri daripada Izuan Mokhtar, Azhari Zain dan Eoon Shuhaini. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Srikandi Emma, Aloy Paradoks, Epy Kodiang dan Amar Amir.
Seramai lebih 27 selebriti popular tanah air terlibat untuk menjayakan Malaysian Ghost Stories. Antaranya termasuklah Janna Nick, Zahiril Adzim, Meerqeen, Bella Astillah, Chubb-E, Syazwan Zulkifly, Nazeera Sardi, Ellie Suriaty, Adam Shahz, Anna Jobling, Keith Foo, Kazar Saisi, Amerul Affendi, Ara Johari, Hasnul Rahmat, Jasper Supayah, Azman Ahmad, Hanna Aqeela, Azar Azmi, Fimie Don, Nabil Aqil, Balkisyh Semundur Khan, Erry Putra, Hamdan Senario, Sabrina Ali, Eric Fuzi, Fadhli Masoot dan ramai lagi.
Jangan lupa tonton drama Malaysian Ghost Stories setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 11.00 malam di Astro Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124).