KALAU sebut tentang kem jati diri untuk pelajar, salah satu aktiviti popular ialah night walking. Sesi ni memang mudah buat peserta yang lemah semangat rasa takut.

Aku ada pengalaman sendiri dengan aktiviti ini. Beberapa tahun lepas semasa aku belajar di sebuah institut pengajian tinggi, aku terlibat dengan kem jati diri.

Kami pelajar yang terlibat di bawa ke sebuah kem di pedalaman Sungkai, Perak. Sampai di kem itu, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Macam-macam aktiviti lasak dijalankan, memang seronok.

Kemudian, suatu malam tiba waktu kami diarahkan untuk melakukan aktiviti ketahanan minda. Masa ni dah faham sangat, mesti kena masuk hutan dan mula lah aku terbayang macam-macam kisah seram yang selalu orang cerita bila kena buat aktiviti macam ni.

Kami dipecahkan pada beberapa kumpulan, dan laluan yang akan kami tempuh juga berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.     

Sebelum kami melangkah pergi, Ustaz Hisham salah seorang guru bertugas berpesan agar kami jangan berpecah daripada kumpulan masing-masing. Dia juga ingatkan kami supaya tidak bercakap perkara yang bukan-bukan dan lampu suluh pula hanya dibenarkan diguna separas pinggang untuk menyuluh jalan. Bermakna, jangan memandai-mandai nak suluh ke arah atas.

Kumpulan aku terdiri daripada lima orang, semua perempuan. Shira dilantik sebagai ketua kumpulan dan hanya dia saja yang ditugaskan untuk memegang lampu suluh.

Kami berlima melangkah melalui jalan yang ditetapkan. Aku tengok Shira halakan lampu suluh ke jalan tanah merah yang menjadi laluan kami ketika itu. Jalan itu tidaklah sebesar mana, seperti denai yang hanya boleh dilalui oleh motosikal saja.

Kami berlima terus melangkah, diam tanpa sepatah kata. Sesekali kedengaran bunyi keluhan rakan-rakan bila kaki mereka tersadung kayu.  

Aku di bahagian paling belakang. Semasa aku khusyuk melihat laluan di hadapan, aku tersentak. Sayup-sayup aku dengar ada suara orang panggil nama aku. Bukan sekali dua, tapi berulang kali.

Aku berhenti sekejap dan toleh ke belakang. Aku sangka mungkin ada rakan-rakan kumpulan lain yang menuruti di belakang. Tapi, dah setengah minit tunggu, usahkan bayang, bunyi tapak kaki pun langsung aku tak dengar. Habis, suara siapa pula yang aku dengar tadi?

Nak kata hanya ilusi, tak juga sebab suara tu jelas. Bukan sekali dua, tapi berkali-kali panggil nama aku. Terus aku meremang. Apa lagi, aku cepatkan langkah menuju ke arah rakan-rakan sekumpulan yang dah jauh di hadapan.

Tapi, langkah aku terhenti bila sampai di sebuah simpang. Ah, sudah… jalan mana aku nak ikut ni?

Depan aku ada tiga simpang laluan kecil yang berlainan arah. Mana aku nak ikut? Aku cuba pasang telinga kalau-kalau dapat dengar suara rakan-rakan yang lain, namun yang kedengaran cuma suara unggas dan cengkerik yang saling bersahutan.  

Dalam keadaan aku buntu nak pilih jalan yang mana, tiba-tiba aku dengar bunyi sesuatu dari semak berhampiran. Bunyi seakan sesuatu sedang meranduk ranting-ranting kecil dan semak begitu jelas di pendengaran.

Binatang buas ke? Aku mula risau. Dibuatnya muncul harimau ke, tak ke naya. Baru aku pasang niat nak buka langkah seribu, tiba-tiba muncul seorang wanita tua sambil tersengih memandang aku.

Aku tergamam. Tak tahu nak kata takut ke atau terkejut. Pelik jugak macam mana seorang wanita tua yang boleh aku panggil nenek boleh muncul waktu malam begitu dari dalam hutan. Setahu aku kawasan tu tak ada rumah yang berdekatan.

Wanita tua tu hanya tersenyum pandang aku. Badannya sedikit bongkok, pakai kain batik dan kurung lama, berselendang. Macam opah-opah kita zaman dulu. Sebelah tangannya menggenggam sebatang kayu yang dijadikan tongkat untuk berjalan.

Sempat aku tengok kakinya, nampak masih berpijak di tanah. Lega sikit hati aku, sekurang-kurangnya wanita ini seorang manusia dan bukannya hantu, macam tu lah aku fikir.

“Anak nak pergi mana malam-malam ni?” dia bertanya. Aku pun cerita la yang aku dah hilang arah, tak tau mana kawan-kawan lain pergi.

“Anak jangan risau. Kawan-kawan anak tu ada kat depan sana. Mari nenek bawakan anak jumpa mereka,” katanya.

Aku pun tak fikir panjang terus setuju. Habis, takkan aku nak tinggal kat situ sorang-sorang, kan?

Wanita tua tu pegang tangan aku dan bawa aku masuk ke arah belukar. Dalam keadaan gelap tu, wanita tu boleh jalan dengan cekap, macam dia dah biasa dengan kawasan tu.

Dalam aku ikut dia, sebenarnya hati aku risau juga. Aku tertanya-tanya siapa wanita tua tu? Kenapa dia boleh ada di situ? Apa dia buat dalam hutan tengah malam begitu?

Rasa risau aku hilang bila aku mula dengar suara rakan-rakan. Tak jauh di hadapan, aku nampak cahaya lampu suluh mereka di tempat kami mula berkumpul tadi.

Terus aku berlari-lari anak menuju ke arah mereka. Dan sebaik saja sampai di sana terus aku ceritakan pada mereka tentang wanita tua yang menolong aku tadi.

Berkerut wajah rakan-rakan aku tu bila dengar cerita aku. Mereka hairan dan tak nampak sesiapa pun. Yang buat aku terkejut, mereka kata aku tiba-tiba hilang dari kumpulan, dan mereka terpaksa berpatah balik untuk cari aku.

Aku toleh belakang dan nampak wanita tua itu masih ada, tak jauh dari kami. Aku lambai wanita tua tu supaya datang dekat dengan aku, untuk buktikan kat kawan-kawan aku tak menipu, memang ada wanita tua bersama dengan aku tadi yang tunjukkan jalan. Tapi wanita tu cuma senyum sambil menggelengkan kepala, tanda tak mahu datang dekat.

Terus Shira tarik tangan aku dan berbisik, “Kau panggil siapa kat pokok besar tu? Kitorang tak nampak sesiapa pun.”

Aku mula hairan. Member yang lain muka dah cemas. Aku pelik, takkan diorang tak nampak wanita tua tu? Tak jauh mana pun dari kami. Puas aku tunjuk beritahu, mereka kata tak nampak sesiapa pun.

Spontan aku ambil lampu suluh di tangan Shira dan terus halakan ke arah pokok besar tu.

“Hah, tuuu… nampak tak nenek tua tu? Kan dia berdiri kat situ,” entah kenapa berani je aku cakap macam tu sambil menyuluh ke arah pokok tu.

Tiba-tiba rakan-rakan aku mula menjerit ketakutan. Tengah kecoh-kecoh tu, Ustaz Hisham sampai. Bila ditanya, aku cerita lah semua dari A sampai Z. Terus Ustaz Hisham arahkan kami semua pulang ke kem dan batalkan aktiviti malam tu.

Malam itu ketika tidur, aku bermimpi wanita tua tu datang dan ajak aku tinggal dengannya. Tapi aku tolak permintaannya dengan baik. Alasan aku sebab aku tak mahu berpisah dengan keluarga aku. Aku ada mak bapak lagi dan adik beradik. Takkan nak tinggalkan darah daging aku.

Tapi, wanita tua tu tetap memaksa aku mengikutnya sampai aku menangis tak nak ikut dia. Aku cuma tersedar bila rasa tubuh digoncang kuat. Bila aku buka mata, kawan-kawan dah berkumpul sekeliling katil. Mereka kata aku mimpi sambil meracau-racau menangis.

Belum habis lagi, tak lama kemudian, salah seorang pelajar perempuan menjerit. Katanya, ternampak kelibat wanita tua di luar pintu bilik. Lepas itu bermulalah episod seorang demi seorang pelajar histeria, tiba-tiba terjerit-jerit malam tu.

Enam pelajar malam tu kena histeria. Aku pun tak tahu lah kenapa, tapi gerak hati aku kata macam ada kaitan dengan wanita tua tu. Nasib baik ustaz dan ustazah yang menjaga kami berjaya pulihkan pelajar yang histeria.

Keesokan pagi, kami semua diarah pulang walaupun jika diikutkan, jadual program kami masih berbaki dua hari lagi. Ustaz Hisham beritahu pihak pengurusan tidak mahu menanggung risiko, takut kalau berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini lepas ramai histeria malam tadi.

Aku ingatkan selepas pulang, kisah tersebut akan habis di situ saja. Takkk!!

Sejak pulang dari kem tu, wanita tua tu sering muncul dalam mimpi aku, seolah-olah datang ‘melawat’. Cuma dia tidak lagi paksa aku ikut dia, tapi cuma tersenyum pandang aku dari jauh.

Sampai sekarang, walau dah beberapa tahun kejadian tu, wanita tua tu akan muncul sekali sekala dalam mimpi aku. Nak kata takut, aku dah biasa sebab dah bertahun benda ni jadi.

Aku buat tak kisah saja, malas nak layan. Dia muncul dalam mimpi tu tak kacau aku, sudah lah. Aku pun tak tahu kenapa dia masih muncul dalam mimpi aku sampai sekarang. Takkan dia masih berharap aku ikut dia suatu hari nanti?

Siapa wanita tua tu agaknya? Manusia ke bukan? Aku pun tak tahu.

**Catatan pengalaman : Norashikin Hassan

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare