Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Oleh MUHAMMAD ADI PUTERA

SENARAI barisan Kabinet telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong  oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Ogos lalu.

Ia telah mendapat perkenan Seri Paduka dan disusuli dengan pengumuman  oleh Perdana Menteri semalam.

Peliknya, belum pun sempat para menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah di hadapan  Agong pada 30 Ogos lalu, pihak berkepentingan terutamanya pengikut dan penyokong pembangkang sudah melalak dan meroyan dengan pelbagai propaganda. Apakah barisan Kabinet  pembangkang lebih baik? Lupakah kita kepada barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang lebih gagal dan menimbulkan keresahan serta kesusahan rakyat?

Adakah selama 22 bulan lebih baik daripada barisan Kabinet baharu ini? Jawapannya amat jelas, tidak perlu dikupas atau diulas, parut muda masih nyata malah bisa sakitnya pun masih terasa.

Semasa pengumuman barisan Kabinet, Perdana Menteri telah mengajak seluruh keluarga Malaysia (termasuk pengikut dan penyokong pembangkang) untuk sama-sama berganding bahu, mengembleng tenaga dan usaha ke arah memerangi ancaman Covid-19 yang semakin mengganas serta memulihkan ekonomi negara yang kritikal.

Berilah peluang kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinet beliau untuk merangka strategi jangka pendek serta jangka panjang untuk mengatasi dua isu besar tersebut – memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Hentikanlah segala kritikan dan kecaman bermotifkan politik untuk seketika. Krisis kesihatan dan ekonomi negara hendaklah dijadikan agenda utama semua lapisan rakyat sebagai satu keluarga Malaysia.

Berilah ruang dan peluang untuk Kabinet Ismail Sabri berusaha menangani masalah negara dan rakyat demi kebaikan serta kepentingan bersama. Yakinlah bahawa mereka pasti melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin bagi mengatasi krisis kesihatan dan ekonomi negara serta keperitan hidup rakyat.

Sudah pasti kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan oleh kerajaan. Janganlah kita menjadi ‘tembok penghalang’ kepada segala usaha kerajaan. Tekadkan niat untuk turut membantu kerajaan dan jangan sesekali menambah bebanan sekali gus berpotensi mengheret negara ke lembah kehancuran dan kebinasaan.

Situasi krisis kesihatan dan ekonomi negara pasti ada resolusi dan ‘jalan keluar’ terbaik, jika seluruh rakyat secara bersepadu berfokus kepada permasalahan yang sedang dihadapi tanpa mementingkan elemen politik sempit dan merugikan semua pihak.

Gencatan politik selama 100 hari amat kritikal kepada negara kerana banyak masa telah terbuang akibat kerakusan kuasa politik. Sedar dan keluarlah dari kepompong politik. Bersatulah sebagai satu keluarga Malaysia yang besar memerangi penularan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara seiring dengan titah Agong.

  • Penulis adalah penganalisis sosial dan keselamatan