OLEH: DATUK DR. HASAN MAD

Pengalaman peribadi saya berurusan dengan komuniti bisnes China dalam tiga dekad berlainan mampu membantu saya membina perspektif berbeza mengenai mereka, dalam tiga dekad itu.

China dalam era 1990-an samalah macam kita di awal era 1970-an, tak reti dalam berurusan dengan pelabur asing.

Dalam era 2000-an, mereka sudah berdaya saing tinggi, cekap dalam urusan dagang dengan pihak asing, maka lebih mudah berurusan dagang dengan mereka.

Pembangunan ekonomi dan kemakmuran di China dalam era 2020 ibarat sudah 30 tahun di hadapan kita, dalam banyak aspek. Kita sudah tercicir jauh.

Hakikatnya Presiden Xi yang menerajui The 2nd China Reform (Prosperity), sebagai kesinambungan kepada The 1st China Reform (Cultural) oleh Mao Tze Tung, berjaya mengislahkan bangsanya menjadi bangsa berdaya saing tinggi.

Kita sudah mula keciciran daya saing berbanding Indonesia, dan kini dengan China pula. Ia bukan kerana rakyat Malaysia tidak mampu membina daya saing tahap global atau sebagai pemain global. Kita kian tercicir kerana persaingan politik dalam kalangan pemimpin kita berada pada tahap tinggi. Majoriti rakyat Malaysia pun macam saya, terpesong sama prioriti kita ikut ragam mereka.

PM9 baru mula nak memanaskan kerusi sebagai Perdana Menteri. Beliau cuba menyamai rentak Presiden Xi Jinping.

Baca artikel berkaitan: Malaysia vs Indonesia: PM9 vs Jokowi

Presiden Xi ada 33 anggota Kabinet bersama beliau, diterajui Perdana Menteri Li Keqiang, empat naib perdana, lima menteri negeri (State Councillors) dan 23 kementerian/agensi pusat berstatus kementerian. Jumlahnya 34.

PM9 ada 31 anggota Kabinet bersama beliau; empat menteri kanan, lima menteri @ PMO dan 22 kementerian. Jumlah 32. Dekat-dekat nak sama saiz kedua-dua kerajaan itu.

Tapi yang tak sama di antara kedua-duanya ada banyak. Presiden Xi tiada 38 timbalan menteri seperti PM9. Barisan Kabinet Presiden Xi dalam penggal pertama 2013-2018 tak sama dengan barisannya dalam penggal kedua 2018-2023.

Ada banyak lagi yang tak sama dan setiap pembaca boleh membuat sendiri senarai ketidaksamaan kedua-dua pemimpin itu.

PM9 tiada pilihan. Beliau terpaksa kitar semula anggota Kabinet PM8 ke dalam barisannya. Kita andaikan beliau tiada keberanian untuk membuat perubahan dan membuat pilihan sendiri.

Dan kita sediakan alasan untuk beliau.

Alasannya ialah kerana sistem dan budaya politik Melayu yang sebenarnya mempengaruhi tindak-tanduk PM9 itu. Sistem dan budaya politik Melayu sudah terlurut dan tersongsang, tidak dapat diislahkan lagi. Pemimpin politik yang kita pilih selama ini yang ada di Parlimen itu akan terus bersengketa sesama mereka, heret rakyat untuk turut sama bersengketa, sekalipun dalam kesengsaraan, demi kelangsungan kuasa mereka.

Apa pun, PM9 dan President Xi mempunyai hasrat yang sama, memajukan negara masing-masing, mengawal wabak covid-19, memulihkan ekonomi dan itu dan ini.

President Xi tiada masalah meneruskan rentaknya. PM9 tak menang tangan menangani masalah, kerana meneruskan legasi kepimpinan Melayu yang bermasalah, sehinggalah beliau diundurkan atau berundur. Bila? Ahlli Parlimen yang ‘dictate’ PM9 ada jawapannya. Rakyat ikut sajalah telunjuk mereka ini.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram