Sejak dahulu, kisah sesuatu tempat yang heboh kerana gangguan ‘orang minyak’ sering berlaku. Banyak tempat pernah dikaitkan dengan siri serangan orang minyak ini.

Orang minyak dikaitkan dengan individu yang menuntut ilmu batin dan akan menceroboh masuk ke rumah-rumah yang mempunyai anak gadis atau wanita untuk diperkosa. Orang minyak ini selalunya digambarkan serba hitam dan tubuhnya berlumuran minyak.

Salah satu kisah serangan orang minyak yang pernah berlaku terjadi di Taman Kenari dalam daerah Kulim di Kedah pada Julai 2007. Penduduk di taman itu ketakutan apabila mendakwa tentang kewujudan lembaga hitam yang menyerupai manusia berlumuran minyak sering menceroboh kawasan perumahan itu.

Beberapa orang wanita di kawasan itu juga mendakwa turut mengalami kejadian aneh seperti berasa dihimpit sesuatu ketika tidur dan apabila sedar terdapat kesan-kesan lebam pada tubuh terutamanya, terutama di bahagian paha.

Wartawan kami ketika itu pernah berkunjung ke kawasan ini dan menemui Mohd Sabri yang sewaktu kejadian merupakan pengerusi kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kenari.

Menurut Sabri, ramai penduduk pernah terserempak dengan makhluk itu. Pada mulanya, dia menganggap cerita orang minyak itu sekadar kisah dongeng. Tambahan pula kata Sabri, ramai penyamun gemar menggunakan taktik sebegini untuk memecah masuk rumah. Lebih-lebih lagi di kawasan perumahan yang jauh daripada kesibukan orang ramai.

Tetapi apa yang membuat Sabri musykil, kenapa tidak ada barang dalam rumah yang diceroboh dilaporkan hilang?

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Sabri meningkatkan rondaan malam bagi melihat sendiri kejadian itu. Suatu malam, ketika melakukan satu rondaan, dia terjumpa bayang seakan seekor kucing membuka pintu pagar.

Beberapa minit kemudian, jiran tetangga kawasan itu kecoh seperti sedang mengejar sesuatu. Sabri bergegas ke tempat jirannya itu dan mendapati mereka sedang mengejar lembaga yang rupanyanya seakan-akan seorang penyelam, hitam berkilat dan berminyak.

Malangnya, mereka gagal mengejar lembaga itu yang secara tiba-tiba hilang tanpa dikesan. Selepas beberapa hari, mereka dikejutkan lagi dengan kemunculan orang minyak di atas bumbung salah seorang penduduk di situ.

Kali ini, kemunculannya disusuli dengan suara wanita meminta tolong dari sebuah rumah di hujung simpang. Jeritan kuat itu mengejutkan pasukan rukun tetangga yang terus mengepung rumah itu bersama 20 orang penduduk.

Tetapi, sepantas kilat lembaga itu hilang. Manakala wanita yang menjerit itu didapati mendapat lebam yang tiba-tiba muncul di beberapa bahagian tubuhnya.

Dua bulan kemudian iaitu pada September, dikatakan serangan orang minyak itu sudah beralih ke lokasi lain pula. Kali ini, makhluk serba hitam berminyak itu muncul di Taman Keladi dan Taman Angsana, Sungai Petani, Kedah. Jauhnya hampir 50 kilometer dari Kulim.

Berdasarkan cerita mulut ke mulut, orang minyak yang muncul di kedua-dua taman itu telah mencabul beberapa orang gadis yang tinggal serumah. Selain itu, ia turut menyerang beberapa orang suri rumah.

Seorang mangsa yang dikenali sebagai Fatimah berkata, dia hanya tergamam dan tubuhnya kaku tidak mampu bergerak selepas mendengar anak gadisnya yang berusia 15 tahun menjerit meminta tolong.

Menurut cerita anak gadisnya itu, dia diserang orang minyak dan selepas dia menjerit, orang minyak  itu lari menghilangkan diri ke dapur rumah mereka.

Apa yang pelik, tiada kesan umpil atau terkopak pada pintu dapur rumah yang elok terkunci. Bahkan, tiada kesan ada orang masuk atau keluar pada pintu atau tingkap rumah. Bagaimana makhluk itu melarikan diri?

Serba Ringkas Tentang Orang Minyak

Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu hitam yang perlu memenuhi syarat mendapatkan 40 dara gadis sunti.

Mengikut cerita lisan, ilmu orang minyak membolehkan seseorang itu mendapat kuasa yang hebat seperti sentiasa muda dan tidak dimakan usia. Selain itu, mereka juga mampu menjelma menjadi apa saja dan kebal serta mampu ghaib pada bila-bila masa.

Penuntut ilmu hitam ini biasanya akan menjelma menjadi lembaga hitam berkilat dan berminyak di waktu malam bagi menyempurnakan sumpahan yang dikenakan pada mereka.

Dikatakan si guru akan menyumpah anak muridnya menjadi lembaga hitam (orang minyak) sebagai ujian untuk pengijazahan. Murid itu nanti akan pergi menunaikan syarat mendapatkan 40 dara gadis sunti bagi membebaskan dirinya daripada sumpahan itu. Ketika itulah, dia perlu menguji segala sihir yang telah dipelajarinya dan menempuh pelbagai rintangan, termasuklah halangan daripada orang kampung dan sebagainya.

Sihir orang minyak dikatakan luar biasa. Ia mampu memukau dan membuatkan penghuni rumah terkunci. Malah ia juga boleh melakukan aksi pelik seperti melekat seperti cicak dan bertukar rupa menjadi pelbagai benda termasuk pokok.

Dikatakan terdapat beberapa kelemahan pada sihir orang minyak. Menurut kepercayaan, sihir orang minyak menjadi lemah apabila berjumpa dengan kelopak jantung pisang atau keladi bira. Jelmaannya akan hilang bila badannya terkena batang ubi kayu. Orang minyak akan hilang semua kuasa sihir jika dibalut dengan kain batik lepas.

Begitu popularnya kisah orang minyak ini sejak zaman dahulu sehingga ia sering diangkat ke layar perak. Salah satunya filem hitam putih ‘Sumpah Orang Minyak’ arahan P.Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1958 antara yang masih diingati sehingga ke hari ini.

Namun, kadangkala bukan semua serangan aneh itu benar-benar dilakukan orang minyak. Salah satunya pada kejadian yang berlaku pada penduduk Ketari di Bentong, Pahang pada penghujung tahun 2011.

Penduduk ketika itu hidup dalam kebimbangan apabila satu lembaga misteri yang dikatakan orang minyak berkeliaran di kawasan itu. Lembaga itu berkeliaran waktu malam dan menceroboh masuk ke rumah penduduk, menodai anak gadis atau wanita yang ditemuinya dan juga mencuri.

Namun pada November 2012, polis berjaya memberkas seorang lelaki yang separuh bogel. Suspek berusia 42 tahun itu mengakui telah menceroboh masuk ke rumah kediaman penduduk dan melakukan jenayah rogol, bunuh dan samun. Selepas perbicaraan dia dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan.

_______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare