Rambut merupakan mahkota setiap wanita. Mempunyai rambut yang lebat dan sihat menjadi idaman semua wanita. Rambut juga merupakan bingkai kepada wajah. Rambut yang cantik boleh menyerlahkan kecantikan wajah dan menampakkan anda muda.

Dengan sebab itu, apabila seseorang wanita mengalami masalah keguguran rambut, ia merupakan satu masalah yang serius dan boleh mengganggu emosi.

Apakah sebab-sebab rambut wanita menjadi nipis atau gugur? Kita boleh menggambarkan rambut kita seperti sebuah taman. Sejauh mana kesuburan sesebuah taman itu bergantung kepada tahap kesuburan tanahnya. Penyakit, bahan kimia, ubat ubatan dan jangkitan kuman boleh mengganggu kesuburan rambut.

Kali ini kita akan membincangkan punca keguguran rambut secara keseluruhan. Keguguran rambut secara keseluruhan kepala adalah jenis keguguran rambut yang paling banyak dialami oleh wanita dan juga lelaki. Ia boleh disebabkan genetik, penyakit, ubat ubatan dan faktor lain.

FAKTOR-FAKTOR KEGUGURAN RAMBUT

Keguguran rambut akibat genetik untuk wanita, boleh diwarisi dari sebelah ibu atau bapa. Ia disebabkan oleh dua jenis enzyme iaitu enzyme aromatase dan 5-a reductase. Apa yang berlaku adalah, enzyme ini menyebabkan penghasilan hormon DHT yang menyerang akar rambut dan menyebabkan rambut mati.

Keguguran rambut akibat penyakit. Rambut wanita memang sensitif kepada masalah kesihatan. Di antara penyakit yang boleh menyebabkan masalah rambut gugur adalah:

• Kekurangan sel darah merah (anaemia) akibat rendah zat besi

• Penyakit Tiroid

• Masalah Obstetrik dan sakit puan seperti selepas bersalin, menopause dan kanser ovari.

• Penyakit Tisu konektif seperti SLE atau Lupus.

• Kekurangan zat dalam badan, diet mendadak.

• Stres secara fizikal seperti menjalani pembedahan besar dan stres emosi seperti kehilangan orang tersayang.

Keguguran rambut disebabkan ubat-ubatan. Senarai ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rambut gugur secara keseluruhan kepala adalah:

• Ubat pencair darah seperti warfarin dan Heparin.

• Ubat sawan seperti Dilantin.

• Ubat gout seperti colchicines dan alopurinol (Xyloric).

• Ubat darah tinggi terutamanya Beta Blocker dan Diuretic ( rujuk doktor anda).

• Ubat anti radang seperti steroid.

• Ubat anti kolesterol.

• Ubat mengawai emosi (seperti ubat penenang) – lithium, tri-cyclics, Elavil, Prozac.

• Rawatan kemoterapi.

• Ubat rawatan Tiroid.

• Pil Perancang terutamanya yang mengandungi paras progestins yang tinggi.

• Lain-lain – pill diet, Vit A yang tinggi.

RAWATAN MASALAH KEGUGURAN RAMBUT SECARA KESELURUHAN

Langkah pertama adalah untuk mengenal pasti punca masalah keguguran rambut anda. Jika ia berpunca daripada masalah kesihatan atau disebabkan ubat-ubatan, merawat penyakit berkaitan atau berhenti/menukar ubat-ubatan yang diambil boleh menghentikan masalah keguguran rambut dan dalam jangka masa enam minggu ke enam bulan (kehilangan rambut peringkat awal) rambut boleh menjadi lebat kembali.

Tetapi jika disebabkan oleh hormon DHT, rawatan yang paling sesuai adalah Hair Transplant.

Proses hair transplant adalah memindahkan rambut yang sihat ke kawasan yang nipis atau botak. Rawatan ini menggunakan rambut anda sendiri dan bukan rambut orang lain atau rambut sintetik.

Rambut yang dipindahkan ini akan tumbuh seperti normal, boleh disikat, digunting dan ia memanjang seperti biasa.

Jika masalah rambut anda adalah sedikit rawatan terkini dan berkesan untuk melebatkan rambut adalah dengan menggunakan rawatan stem cell atau Plateler Rich Plasma. Rawatan ini menggunakan serum kita sendiri untuk merangsang kulit kepala agar rambut yang tumbuh menjadi lebih banyak, tebal dan sihat.