SEMPENA Hari Kebangsaan Ke-64 yang bakal disambut esok, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh Keluarga Malaysia supaya terus berjuang memerangi pandemik COVID-19, sebagai musuh yang paling utama.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan ini akan membolehkan negara membuka jalan pemulihan ekonomi dalam norma baharu.
Katanya, ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan dan keyakinan pelabur harus dikembalikan.
“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” katanya ketika berucap menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan Ke-64 yang disiarkan di stesen-stesen televisyen utama malam ini.
Ismail Sabri dalam perutusan itu menyeru seluruh rakyat membulatkan tekad untuk memulihkan negara sempena kemerdekaan negara yang ke-64 ini.
Tegas Perdana Menteri, cabaran yang sedang dihadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini.
“Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi. Di mana, ia menggugat kestabilan politik negara kita dan di seluruh dunia,” jelasnya
Sementara itu, Ismail Sabri mahu Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara kerana vaksin telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini.
Katanya, berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan.
“Saya amat berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19,” ujarnya.
Baca artikel berkaitan: Vaksinasi tinggi, Lembah Klang boleh beralih fasa – PM
Kabinet perlu buktikan pencapaian awal dalam 100 hari
Sementara itu, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat untuk berjanji bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.
“Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.
“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia.
“Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara.
“Saya bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tokoh-tokoh negara yang sangat berjasa ini, yang telah pergi meninggalkan kita,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Ismail Sabri berkata:
“Selamat mensyukuri Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-64. Malaysia Prihatin, Dirgahayu Tanah Airku!.”
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram