Syarikat rakaman COF Music dengan bangganya memperkenalkan program realiti nyanyian pertama secara dalam talian iaitu COF Lockstar.

Program yang memulakan pencarian peserta juga secara dalam talian sejak bulan lalu itu berjaya menerima lebih 2,000 penyertaan. Bagaimanapun, hanya 12 peserta terbaik layak ke peringkat seterusnya.

Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, COF Lockstar bermatlamat melahirkan penyanyi baharu yang bersandarkan pada bakat dan kualiti.

Malah, bagi Aman satu cabaran besar buat dia dan seluruh pasukan dalam menjayakan program realiti ini kerana sepenuhnya diadakan secara dalam talian.

“Apa saya boleh katakan, ini program realiti pertama yang sepenuhnya dibuat secara virtual atau dalam talian. Sudah tentu memberikan cabaran tersendiri pada pasukan produksi terutama dari segi nak mencari kualiti peserta.

“Ada lebih 2,000 video yang dihantar di mana semua perlu dinilai terlebih dahulu oleh juri profesional sebelum memilih 12 yang terbaik. Daripada jumlah itu, lima atau enam peserta akan berentap pada peringkat akhir iaitu pada minggu kelima. Selebihnya akan melalui proses penyingkiran dari minggu pertama sehingga empat,” katanya.

Menurut Aman, misi mencari bakat baharu yang segar bakal tercapai apabila 12 peserta yang terpilih itu bukan dalam kalangan artis atau penyanyi sedia ada.

“Daripada 2,000 video itu, ada juga artis yang hantara. Tapi, disebabkan mereka terikat kontrak dengan syarikat rakaman, jadi kita tak boleh terima. Sebab antara syarat penyertaan adalah bergerak sendiri.

“Jadi, 12 peserta yang terpilih ini memang semua segar, wajah baharu tapi mempunyai bakat luar biasa. Dalam masa sama, kebanyakan mereka ini juga lebih suka berkongsi bakat dimiliki di media sosial seperti membuat nyanyian semula lagu atau ‘cover version’.

“Paling penting, pemilih 12 peserta ini dinilai oleh barisan juri profesional sekali gus memberi nilai tambah pada kualiti mereka,” katanya.

Daripada 12 peserta itu, satu peserta berkumpulan, satu secara trio, tiga rappers dan selebihnya solo.

Persembahan mingguan akan ditayangkan secara Live Stream bermula Sabtu, 28 Ogos, jam 9 malam di Youtube & Facebook COF Music.