PAPAN tanda amaran di pondok pengawal IPD Ranau turut rosak akibat dirempuh kereta yang dipandu suspek. - Gambar Ihsan PDRM

JIKA seseorang berani bertindak menceroboh balai polis dan ‘mengamuk’ sehingga memecahkan pintu balai, orang itu mungkin ‘tersangat kebal’ atau ‘tersangat bebal’ akibat tidak boleh berfikir secara waras.

Itu adalah keadaan yang berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Sabah apabila sepasang suami isteri ditahan polis selepas mereka bertindak ‘mengamuk’ apabila menceroboh dengan menaiki Proton Wira dan memecahkan pintu kaca bangunan IPD itu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, dalam kejadian 9.17 pagi itu, suspek lelaki memandu kereta secara melulu dan melanggar papan tanda berhenti di pondok pengawal sebelum meluru ke ke arah di lobi utama.

“Dia memberhentikan kereta di lobi, keluar daripada kenderaan itu dan terus memecahkan pintu kaca IPD Ranau menggunakan tong sampah.

“Anggota bertugas segera kemudian menahannya dan suspek dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BERITA BERKAITAN Menyamar Ketua Polis Johor untuk jenayah penipuan

SUSPEK memecahkan pintu kaca IPD Ranau menggunakan tong sampah. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK memecahkan pintu kaca IPD Ranau menggunakan tong sampah. – Gambar Ihsan PDRM

Simiun berkata, turut ditahan isteri lelaki itu yang juga penumpang kereta dan ujian saringan kedua-duanya yang berusia 27 tahun dan 33 tahun mendapati hanya suspek lelaki positif dadah.

Katanya, pihaknya percaya suspek bertindak demikian di bawah pengaruh dadah dan mereka berdua direman untuk siasatan lanjut, manakala kenderaan dirampas.