Kejadian berlaku di kawasan ladang sawit persendirian di Batu 21, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu, semalam. GAMBAR HIASAN

SENJATA makan tuan. Barangkali itu peribahasa yang tepat untuk menggambarkan nasib seorang lelaki di Bintulu Sarawak apabila dia maut terkena taji ayam laga miliknya ketika terbabit dalam aktiviti sabung ayam, semalam.

Dalam kejadian di kawasan ladang sawit persendirian di Batu 21, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Bintulu setelah mengalami pendarahan yang banyak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, mangsa ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu sedang mengikat taji pada bahagian kaki ayam sabungnya.

Menurutnya, ayam itu secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa dan mencederakan bahagian pehanya sehingga mengalami pendarahan yang banyak.

“Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia semasa berada di Hospital Bintulu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes mati mengejut (SDR).

Selain itu katanya, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu kemudian telah membuat tangkapan terhadap enam suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam.

“Kes disiasat bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 / Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

“Kes turut disiasat di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” tambahnya.