Sebanyak 361,381 dos vaksin diberikan semalam.

SEBANYAK 361,381 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), 181,281 dos merupakan suntikan pertama manakala 180,100 merupakan dos lengkap.

Berdasarkan infografik JKJAV, jumlah pemberian dos tertinggi semalam direkodkan di Johor melibatkan 31,363 dos pertama dan 26,615 dos lengkap.

Turut mencatatkan dos pertama yang tinggi semalam ialah Perak (22,763), Kedah (21,385), Kelantan (21,238) dan Sabah (17,728).

Baca artikel berkaitan: KJ pengerusi mesyuarat KKM, bincang strategi tangani COVID-19

Sementara itu, seramai 14.88 juta individu atau 63.6 peratus daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Untuk suntikan dos pertama, seramai 19.62 juta individu atau 83.8 peratus telah menerimanya.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK setakat semalam sebanyak 34.49 juta dos.

Menurut JKJAV, 60.1 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 45.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan seramai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin sebelum akhir Oktober.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram