HARI itu, 31 Ogos 1957. Waktu kira-kira pukul 5.00 pagi. Sekitar Stadium Merdeka, hujan turun dengan lebatnya. Suasana begitu sejuk dan dingin.

Awal pagi itu, Tun Abdul Razak, yang merupakan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan sudah sampai di stadium yang dibina di sebuah bukit rendah berdekatan Jalan Birch tersebut.

Stadium tersebut mula dibina pada tahun 1956 di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos sebanyak $2.3 juta. Tunku Abdul Rahman yang ketika itu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini pada 15 Februari 1957.

Stadium Merdeka.

Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu yang akan berlangsung pada 31 Ogos 1957. Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957.

Namun pada pagi bertarikh 31 Ogos 1957 itu, Tun Abdul Razak yang sampai awal di stadium mula gelisah. Beliau menyaksikan, akibat hujan lebat, air bertakung di tengah-tengah padang di mana askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat sebentar lagi bagi menyambut hari kemerdekaan negara.

Mujurlah apabila masa berganjak ke pukul 7.00 pagi, hujan mula reda. Lantas beliau menghubungi Tunku selaku Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan untuk melaporkan akan keadaan stadium yang mana beransur baik.

Pun begitu, Tun Abdul Razak mencadangkan agar ketibaan Raja-Raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam. Masih banyak persiapan yang perlu dibuat kerana tertangguh akibat hujan.

Walaupun hujan masih renyai, keadaan stadium mula sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke dalamnya. Tidak kira bangsa. Melayu, Cina, India semua berkobar-kobar ingin menyaksikan hari bersejarah yang akan berlangsung sebentar lagi.

Pukul 9.00 pagi, hujan mulai reda. Langit mula cerah. Matahari mula memunculkan diri. Rintik-rintik hujan semakin mengecil sebelum hilang daripada pandangan.

Melihat keadaan ini, Tun Abdul Razak mengarahkan perabot dan perhiasan dibawa keluar ke kedudukan dengan segera sebagai persiapan menyambut kemerdekaan.

Tunku Abdul Rahman pula telah bersiap sedia di rumahnya. Beliau mengenakan baju Melayu hitam, berkain samping berselit keris bersarung gading di pinggang serta bertengkolok songket. Tunku hanya menantikan saat untuk bertolak ke stadium sahaja.

Sampai di stadium, suasana riuh rendah dengan suara rakyat jelata. Tunku Abdul Rahman berdiri gagah sambil menyaksikan ribuan masyarakat berbilang kaum menanti dengan teruja. Pada masa ini Tunku menanti menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Filed Marshall.

Apabila Duke of Gloucester yang merupakan bapa saudara kepada Queen Elizabeth II tiba, laungan “God Save The Queen” bergema. Duke diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Ketika itu, Raja-Raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan kaki payung kuning. Yang Di-Pertuan Agong duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku Abdul Rahman dan di kanannya Duke.

Duke kemudiannya bangun menyerahkan ‘Instrumen Kemerdekaan’ yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negeri baru ini dan seterusnya menarik ‘perlindungan’ yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Selepas menerimanya, Tunku kemudiannya membacakan pengisytiharan  Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut: “Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka”.

Ketika membacakan ini, suara Tunku tenggelam timbul dalam pekikkan orang ramai yang melaungkan, MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! oleh rakyat berbilang kaum dari sebuah perjuangan yang suci.

Bahkan, ribuan air mata turut tumpah menyaksikan detik peristiwa bersejarah ini. Laungan MERDEKA bergema di seluruh tempat, bukan sekadar di stadium, malah di mana-mana saja mereka yang menyaksikan upacara gemilang itu sama ada melalui siaran televisyen atau pun radio.

Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-64 wahai Malaysia.

Merdeka! Merdeka ! Merdeka!

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare