“ANDA tetap juara di hati kami Ziyad Zolkefli.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang nasib menimpa jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang ‘dinafikan’ pingat emas dan catatan rekod dunia, semalam.

Menurut Muhyiddin, keupayaan Muhammad Ziyad yang telah membuat lontaran sejauh 17.94 meter adalah pencapaian istimewa dan menakjubkan.

Walaupun tidak membawa pulang pingat emas ekoran bantahan yang dilakukan pihak Ukraine, namun Muhyiddin berkata, Muhammad Ziyad telah melakukan yang terbaik untuk negara.

“Buat Muhammad Ziyad, memecah rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter adalah satu pencapaian yang amat istimewa dan menakjubkan.

“Biarpun keputusan jawatankuasa rayuan tidak memihak kita, kekal fokus. Anda telah melakukan yang terbaik untuk negara. Teruskan perjuangan!,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sah, emas ‘diberi’ kepada atlet Ukraine, Ziyad mohon maaf

Pingat emas yang dimenangi Muhammad Ziyad di Paralimpik Tokyo dalam acara lontar peluru kategori F20, semalam dibatalkan susulan bantahan daripada kontinjen Ukraine.

Keputusan tersebut dimuktamadkan World Para Athletics dengan badan itu membenarkan protes atlet Ukraine yang dalam pertandingan semalam berada di belakang Muhammad Ziyad pada kedudukan kedua dan ketiga.

Pingat emas diputuskan menjadi milik Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter dan pingat perak juga milik Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang mencatat lontaran 17.30 meter.

Walaupun sukar diterima, namun semua perlu akur biar pun hanya kerana disebabkan kelewatan Ziyad dan dua atlet negara lain memasuki call room – penyebab bantahan Ukraine diterima.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram