Shahril Hamdan (kiri) sempat meninjau sebahagian kawasan HSKLU yang dinyahwartakan Kerajaan Negeri Selangor.

KERAJAAN Persekutuan dicadangkan supaya mempertimbangkan untuk mengambil alih hak Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) susulan penyahwartaan kawasan berkenaan sebagai hutan simpan kekal pada Mei lalu.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, langkah akhir dan drastik itu sejajar dengan Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil hak milik kawasan yang telah dinyahwarta iaitu daripada milik kerajaan negeri ke kerajaan pusat sebelum negeri melaksana pindah milik ke mana-mana syarikat atau entiti.

Walaupun sedar cadangan itu bersifat agresif, namun Shahril Hamdan berkata, ia wajar menjadi langkah terakhir sekiranya segala desakan membatalkan penyahwartaan itu masih gagal.

Kata beliau, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari wajar membatalkan penyahwartaan kawasan itu dengan segera walaupun tidak dapat membayangkan apa sahaja penjelasan yang boleh menjustifikasi penyahwartaan.

“Sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan kerajaan negeri tetapi HSKLU merupakan aset amat berharga atas kedua-dua faktor warisan serta masa hadapan.

“Jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan, mahu pun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi.

“Nampak gayanya, bising macam mana pun, Menteri Besar dan Exconya masih nak teruskan,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: Suspek pencemar Sungai Langat ditahan, kalau tidak bekalan air Lembah Klang terputus lagi..

Kelmarin, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan penyahwartaan HSKLU seluas 536.7 hektar daripada sejumlah 931.17 hektar untuk dijadikan perancangan pembangunan bercampur.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, keputusan itu diputuskan selepas mesyuarat pada 5 Mei dan mendapat pengesahan pada 19 Mei.

Pada masa sama, Hee Loy berkata kerajaannya telah meluluskan penyahwartaan di bawah Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), dan selepas mengambil kira hujahan rakyat.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, keputusan penyahwartaan itu amat tidak masuk akal atas beberapa sebab termasuk HSKLU merupakan kawasan paya gambut, tanah adat Orang Temuan dan juga habitat untuk spesis terancam yang berusia 8,000 tahun.

Pada masa sama, kata beliau, usul yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November 2020 juga telah menolak penyahwartaan dan apa-apa bentuk pembangunan di kawasan berkenaan.

Pendengaran awam yang diadakan pada September 2020 juga mendapat bantahan daripada ramai pihak tidak termasuk puluhan ribu mesej dan petisyen menolak perkara sama.

“Paya gambut merupakan antara rakungan semula jadi karbon. Pemusnahan HSKLU demi keuntungan dan pembangunan yang tidak diperlukan pun adalah satu langkah tidak masuk akal.

“Natijahnya, ikut sains penyahwartaan tak masuk akal. Ikut demokrasi di DUN sendiri, penyahwartaan tak masuk akal. Ikut suara rakyat di luar DUN, penyahwartaan tak masul akal. Ikut hak Orang Asli juga penyahwartaan tak masuk akal,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram