MAJLIS Belia Malaysia (MBM) melancarkan Tabung Kemenangan Ziyad sebagai insentif kepada kejayaan atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo.

Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, MBM bersama seluruh Keluarga Malaysia juga amat menghargai penat lelah dan usaha ditunjukkan Ziyad dan atlet lain yang berhempas-pulas beraksi demi negara.

Pada masa sama, Wan Mohd. Husni turut berharap kerajaan dapat mengiktiraf kemenangan Ziyad sama tahap seperti kemenangan atlet lain yang menyumbang pingat untuk negara.

“Ziyad juga berhak menerima insentif yang setimpal daripada kerajaan.

“MBM tetap berdiri di belakang Ziyad atas segala pengorbanan yang telah dilakukan dalam mengejar aksi di Paralimpik Tokyo 2020. Untuk itu, MBM melancarkan Tabung Kemenangan Ziyad sebagai insentif kepada kejayaan beliau.

“Kepada penyumbang, anda boleh menyumbang terus ke akaun Maybank bernombor 5640 2540 3782 (Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia) dengan rujukan ‘WIRA ZIYAD’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: ‘Saya akan bangkit kembali’, kata Muhammad Ziyad

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Husni berkata, MBM turut menyifatkan kontinjen Ukraine tidak mempunyai semangat kesukanan tinggi apabila meraih pingat emas atas alasan teknikal.

Katanya, tidak dinafikan peraturan dan perundangan sukan membenarkan mana-mana atlet melakukan protes tetapi elemen sebegitu tidak sepatutnya berlaku di tahap tertinggi kerana melambangkan betapa rendahnya semangat kesukanan yang dimilikinya.

Beliau berkata, MBM turut berharap Ziyad kekal tenang walaupun memikul ujian yang sungguh berat.

“Terima kasih juga kepada kem Malaysia yang diketuai Chef de Mission, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin yang bertungkus-lumus dalam melancarkan bantahan kepada penganjur.

“Tahniah kerana anda telah melakukan yang terbaik,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram