MALAYSIA Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan pelantikan Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa pada 1 Sept, 2021.
Dalam kenyataannya, MDEC berkata Mahadhir mempunyai rekod cemerlang melebihi 20 tahun dalam pelbagai industri seperti perkhidmatan kewangan, tenaga (minyak dan gas), teknologi maklumat dan media.
“Saya yakin beliau akan menerajui MDEC untuk memacu ekonomi digital negara selari dengan aspirasi bagi memastikan kita dapat terus menyediakan peluang digital yang adil dan saksama kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan,” kata Pengerusi MDEC Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.
Sementara itu, ketika mengulas pelantikan beliau, Mahadhir berkongsi kesediaannya untuk memperkukuh asas MDEC, menjayakan misi ‘Reinvent’(Cipta Semula) dan bekerjasama dengan pasukan agensi itu yang berpengalaman dalam usaha merealisasikan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
“Fokus kini tertumpu ke arah pelaksanaan, pengembangan pelaburan dan penyampaian manfaat ekonomi digital kepada Rakyat. Objektifnya sangat jelas — untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju digital dan Nadi Digital ASEAN,” kata beliau.
Berdasarkan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Kewangan, Mahadhir berkata, “Agenda pertama saya adalah untuk mengukuhkan peranan MDEC dalam merangka dasar ekonomi digital negara serta memacu impaknya secara keseluruhan.
“Ini termasuk menilai semula cara kami beroperasi berdasarkan rangka kerja tadbir urus dalam memastikan program dan geran sampai kepada penerima yang disasarkan. Selain itu, menyokong ekosistem dengan meningkatkan kecekapan operasi akan menjadi faktor penting dalam kejayaan ekonomi digital kami.” katanya.
Untuk mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, Mahadhir menegaskan akan memacu kerjasama lebih erat dengan agensi-agensi dan kementerian lain untuk memberi manfaat kepada masyarakat, perniagaan dan bersama rakyat dalam usaha untuk memulihkan semula negara di bawah Pelan Pemulihan Negara.
Mahadhir telah dilantik sebagai Pengurus Besar di Cyberview pada 2015 dan memainkan peranan besar dalam pembangunan Blueprint Pusat Teknologi Global Cyberjaya dan pelaksanaannya.
Antara projek transformasi teknologi dan digital penting di bawah seliaan beliau termasuklah Majlis Inovasi Bandar (City Innovation Council) yang dipertanggung jawabkan untuk melaksanakan fungsi Bandar Pintar termasuk program Cyberjaya Tanpa Tunai (cashless).
Mahadhir telah mempengerusikan pelbagai jawatankuasa strategik dengan memberi fokus kepada pembangunan dan peraturan berkaitan Teknologi Masa Depan Malaysia, termasuk sebagai Panel Penasihat Kawal Selia Sandbox Negara (NRS).
Mahadhir juga terlibat dalam pelbagai jawatankuasa termasuklah Makmal Teknologi Inovasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Panel Peraturan Industry4WRD Malaysia di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Di peringkat antarabangsa, Mahadhir telah mewakili Malaysia di Forum Ekonomi Krasnoyarsk (2015 – Forum Ekonomi Dunia cawangan Russia), Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia (2016–2018) di Barcelona (di mana beliau diperakui sebagai antara peneraju inisiatif bandar pintar dunia), Forum Transformasi Global (2017) dan Forum Urban Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (2018), yang kemudiannya menyaksikan beliau dijemput sebagai ahli panel Makmal Teknologi Inovasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Mahadhir juga amat komited dalam pembangunan komuniti dan masyarakat secara amnya. Beliau telah menyumbang tenaga secara pro-bono untuk Institut Pengurusan Projek (PMI), di mana beliau merupakan Penyemak dan Penyumbang Kandungan Buku Projek Pengurusan Body of Knowledge (PMBOK). Buku berkenaan berperanan untuk memberi garis panduan kepada semua pengurus projek yang diiktiraf PMI (Pengurusan Projek Profesional – PMP) di seluruh dunia.
Beliau juga aktif dalam sistem pendidikan Malaysia di peringkat universiti dan sekolah menengah, merangkumi kerja-kerja kesukarelawanan hingga ke kesenian dan STEM. Mahadhir merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Lakehead University dengan Minor dalam Perniagaan dan beliau berdaftar sebagai ahli teknologis dengan Malaysia Board of Technologists (MBOT). – UtusanTV