Exco Selangor, Hee Loy Sian memuat naik gambar penguat kuasa menghidu air sungai yang terlibat dengan pencemaran bau di Jenderam Hilir, semalam.

KERAP sangat mungkinlah tidak, cumanya ‘kadang-kadang’ – merujuk gangguan air tidak berjadual di Lembah Klang yang masih dilaporkan berlaku dari semasa ke semasa.

Puncanya kerana pencemaran sumber air mentah hinggakan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu.

Boleh jadi tak sampai sehari atau ada kalanya berhari-hari hingga ke tahap menimbulkan keresahan dan kegelisahan awam.

Mujur insiden terbaru di Sungai Semenyih tempohnya tidak lama, kurang lebih 24 jam sebahagian kawasan sudah dapat semula bekalan.

Tetapi merasa juga orang Selangor beratur berjemaah memegang baldi sambil menadah air dari lori tangki – seakan acara tahunan.

Bab itu selesai tetapi persoalan popular di media sosial ialah sudahkah dikesan punca pencemaran bau yang dilaporkan seakan solven atau bahan larutan?

Kenapa boleh berbau air Sungai Semenyih di Muka Sauk Jenderam Hilir pagi semalam, perbuatan manusia atau apa penyebabnya?

Daripada laporan media, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang menjalankan siasatan.

Selain itu, biasanya akan ada gambar pemimpin hidu air sungai yang tercemar setiap kali LRA dihenti tugas kerana pencemaran bau.

Sebelum-sebelum ini bila timbul isu sama, kita dimaklumkan pengawasan rapi akan dipertingkatkan di sepanjang sungai yang menjadi sumber air mentah.

Ini termasuklah perolehan dron berteknologi tinggi bagi memantau sungai di Selangor sekali gus mencegah pencemaran sumber air.

Itu laporan Oktober lalu dan dijanjikan kepada rakyat jelata empat unit dron untuk LUAS itu bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Mengapa masih terjadi? Setakat ini belum diketahui mengapa pencemaran bau seakan solven itu boleh berlaku pagi semalam.

Baca artikel berkaitan: Pencemaran bau, 463 kawasan di Selangor alami gangguan bekalan air

Bekalan air disalur berperingkat, pulih Jumaat ini

Jika ada yang menyebabkannya, mengapa mereka tidak berasa gerun mengambil jalan pintas menjadikan sungai lokasi membuang sisa yang sepatutnya diuruskan secara orang bertamadun?

Apakah undang-undang tidak menggerunkan? Penguatkuasaan longgar? Jika itu, atasi lah baik negeri mahu pun Persekutuan.

Jangan sesekali bagi muka termasuk kepada pihak industri.

Cukup-cukuplah insiden seperti ini yang jelas menampakkan kelemahan dalam aspek pengawasan sumber air mentah.

Sedangkan Allah SWT melimpahkan bumi Malaysia dengan hujan yang lebih daripada mencukupi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram