BAGI penduduk Teluk Intan di Perak yang sering turun ke sungai untuk menangkap ikan, pernahkah anda mendengar kisah sebuah pusaran air maut?

Pada suatu tempat di sungai Perak, dikatakan wujud satu pusaran air yang digelar ‘tanjung malaikat maut’ oleh penduduk setempat di sekitar Teluk intan.

Mengikut kisah yang diceritakan secara lisan, pusaran air itu telah wujud sejak zaman pendudukan British di Perak lagi.

Sewaktu kami berkunjung ke sini dahulu, kami menemui seorang nelayan sungai berusia 60-an bernama Johari. Menurut Johari, pusaran air misteri itu memang wujud dan menakutkan kerana ia boleh mengakibatkan nyawa melayang. Malah katanya, banyak kes lemas yang berlaku di pusaran tersebut, mayat yang disedut tidak dijumpai.

Menurut Johari, lubuk maut itu amat ganas dan dikatakan pada zaman dahulu mampu menelan kapal dagang yang lalu di situ. Ada yang mengatakan apabila pusaran itu muncul, ia mampu mengembang sehingga saiznya sebesar sebuah padang bola sepak.

Walaupun bahaya, kawasan itu terus dikunjungi nelayan kerana dikatakan di situ adalah lubuk pelbagai jenis spesies ikan air tawar dan udang.

Sekali imbas, lubuk itu tidak menunjukkan sebarang bahaya. Airnya tampak tenang. Tetapi apabila ia membentuk pusaran, dengan mudah ia akan menelan mangsa.

Johari turut menceritakan pengalamannya yang hampir ditelan di lubuk pusaran maut itu. Cerita Johari, kejadian itu berlaku pada tahun 2007. Sewaktu kejadian, dia bersama isteri dalam perjalanan pulang ke rumah dari kampung Tapak Semendang yang terletak di seberang sungai Perak.

Ketika lalu di kawasan lubuk itu, sampan mereka tiba-­tiba bergoyang dan hilang kawalan. Ia berpusing­-pusing dan seolah­-olah ada sesuatu yang menarik sampan mereka.

Ketika itu, Johari dan isterinya sudah mula cemas, namun mulut mereka sentiasa membaca ayat-ayat suci al­-Quran ketika berdepan situasi itu.

Ketika itu juga mereka melihat sebuah pusaran air tiba-tiba muncul. Pusaran yang pada mulanya kecil itu menjadi semakin besar.

Johari dan isterinya hanya mampu berpaut kejap pada sampan yang bergoyang. Keadaan itu amat menakutkan mereka dan Johari mengakui ketika itu, dia berasakan seakan nyawa mereka sudah sampai ke hujung.

Ketika berhempas ­pulas cuba menyelamatkan diri, tiba-tiba pula muncul satu gulungan ombak panjang sebesar batang kelapa di hadapan mereka. Ia diselangi dengan bunyi kuat arus sungai yang tiba-­tiba bertukar laju meluru ke arah sampan mereka.

Johari cuba mengawal sampannya dan mengemudi ke tebing yang berdekatan bagi mengelak diserang arus kuat itu. Ketika itu amat sukar untuk dia mengawal sampannya.

Nasib masih menyebelahi Johari apabila dia berjaya membawa sampannya melepasi pusaran itu. Sebaik sampai ke tebing, Johari berasa lega dan bersyukur kerana dia dan isterinya selamat dan tidak menjadi mangsa kepada pusaran air yang digelar tanjung malaikat maut itu.

Johari menunjukkan tempat di mana dia dan isterinya hampir maut apabila pusaran itu tiba-tiba muncul, ketika diwawancara dahulu.

Selain Johari, kami turut menemui seorang lagi warga emas bernama Abdul Rashid berusia 80 tahun yang mengakui juga hampir maut di kawasan itu.

Ceritanya, kejadian yang berlaku pada tahun 2010 itu hampir meragut nyawanya apabila sampan yang dinaikinya terbalik akibat disedut pusaran air yang tiba-tiba muncul.

Ketika kejadian berlaku, dia berseorangan untuk pulang ke rumahnya selepas merawai udang di sungai berkenaan. Secara tiba-­tiba, sampannya hilang kawalan dan berpusing­-pusing sebelum terbalik ke dalam sungai.

Abdul Rasyid jatuh lalu tenggelam di dalam pusaran. Menurut Rasyid, dia rasa seperti sudah mati sewaktu ditelan pusaran air itu. Tapi mujurlah pengalaman lebih 40 tahun mencari rezeki di sungai itu membuatkan dia berjaya melepaskan diri.

Kata Rashid semasa ditelan, dia cuba berenang keluar daripada gelung pusaran air itu tapi tolakan dan tarikan arus air melemahkan seluruh anggota badannya. Mujurlah ketika dalam keadaan cemas itu, dia teringat petua orang-orang dulu supaya tidak menentang arus dan mengawal tubuh dengan menolak diri ke permukaan air.

Nasib menyebelahinya dan dia berjaya mengeluarkan diri daripada gelung pusaran maut itu. Selepas kejadian itu, Rashid mengakui dia trauma dan berasa takut untuk turun ke sungai lagi.

Pusaran air yang digelar ‘tanjung malaikat maut’ oleh penduduk setempat ini boleh muncul bila-bila masa.

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare