Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Petugas Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengangkat jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam baru-baru ini.. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 249 lagi kematian akibat COVID-19 melibatkan 198 warganegara dan 51 lagi bukan rakyat Malaysia dilaporkan hari ini.

Korban yang dilaporkan hari ini juga bagaimanapun menurun berbanding 278 kematian angkara COVID-19 semalam.

Jumlah 249 korban itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian telah pun mencecah 17,191 setakat ini.

Sebagai rekod, kes kematian tertinggi adalah sebanyak 360 korban yang dicatatkan 8 Ogos lalu.

Walau bagaimanapun, statistik membimbangkan apabila sebanyak 80 kes meninggal di luar hospital atau jenazah dibawa ke hospital (BID) telah dilaporkan hari ini.

Ia melibatkan 46 rakyat Malaysia dan baki 34 lagi bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian tertinggi hari ini dicatatkan di Selangor melibatkan 61 kes.

Kata beliau, sebanyak 40 kes dilaporkan di Johor, 39 kematian di Pulau Pinang dan 33 lagi di Sabah.

“Masing-masing 16 kes dilaporkan di Kedah dan Kuala Lumpur; 13 korban di Melaka dan sembilan di Perak.

Baca artikel berkaitan: 98.2 peratus kes baharu kategori 1 dan 2, kematian 278

“Sebanyak lapan kes dikesan di Sarawak, enam lagi di Kelantan, empat kes di Negeri Sembilan, tiga di Terengganu dan satu di Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan status terkini COVID-19 di Malaysia, sebanyak 1,417 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 1,001 kes daripadanya disahkan COVID-19 manakala 416 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 783 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan dengan 470 kes disahkan COVID-19 manakala 313 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan

Kes aktif pula telah mencecah 262,540 manakala kes sembuh dicatatkan hari ini sebanyak 23,473.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 1.6 peratus daripada keseluruhan 20,988 kes baharu hari ini merupakan pesakit COVID-19 bagi kategori 3, 4 dan 5.

Katanya, jumlah 1.6 peratus itu merangkumi 341 pesakit yang mengalami radang paru-paru hingga berada di tahap kritikal.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 20,647 kes atau 98.4 peratus daripada keseluruhan kes berada dalam kategori 1 dan 2.

Kata beliau, mengikut status vaksinasi kes COVID-19 hanya 10 kes yang dilaporkan lengkap vaksinasi tergolong dalam kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, 13 lagi kes yang telah lengkap vaksinasi berada dalam kategori 4 iaitu radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen.

“Secara keseluruhan, 9,860 kes atau 47 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi; 4,995 kes (23.8 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 6,133 kes (29.2 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

“Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan COVID-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram