KISAH ini bermula pada tahun 1998 di Coimbatore, India. Ketika itu, Arunachalam Muruganantham atau lebih dikenali sebagai Muruga baru berkahwin.

Suatu hari dia melihat isterinya, Shanti seakan gelisah dan seperti sedang menyorokkan sesuatu. Disebabkan rasa ingin tahu, Muruga bertanya kepada isterinya tentang barang yang disorokkannya itu. Tetapi, pertanyaannya dibalas si isteri dengan jawapan ‘jangan masuk campur’.

Muruga masih tidak berpuas hati. Dalam diam dia mengintai untuk melihat ‘barang’ yang disorokkan isterinya tadi. Rupa-rupanya ia adalah cebisan kain buruk yang koyak-rabak dan dipenuhi dengan tompokan darah.

Selepas melihat kain tersebut, barulah dia faham isterinya sedang datang bulan. Dari situ dia mengetahui bahawa isterinya menggunakan cebisan kain buruk dalam tempoh tersebut.  

Lalu dia mengayuh basikal sejauh 14 kilometer ke bandar untuk membeli sepeket tuala wanita buat isterinya. Namun, dia terkejut apabila mendapati harganya amat mahal. Barulah dia sedar mengapa ramai wanita India tidak mampu membeli tuala wanita dan terpaksa menggunakan bahan-bahan seperti kain buruk dan suratkhabar apabila datang bulan.

Arunachalam Muruganantham.

Bermula dari situ, Muruga mendapat idea mahu mencipta tuala wanita untuk isterinya, malah juga untuk jutaan wanita di India yang tidak berkemampuan membeli  tuala wanita bersih ketika haid.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Al Jazeera satu ketika dahulu, kira-kira seorang daripada lima orang pelajar perempuan di India berhenti sekolah kerana datang haid. Malah, hampir 90 peratus wanita di India tidak mampu membeli tuala wanita ketika datang bulan kerana harganya yang mahal.

Maka, bermulalah perancangan Muruga, seorang lelaki yang gigih mahu mencipta tuala wanita demi untuk keselesaan isterinya.

Awalnya, Muruga membeli gumpalan kapas dan memotongnya mengikut bentuk segi empat tepat. Sama seperti bentuk tuala wanita yang berada di kedai. Dia mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan ciptaan pertamanya itu.

Kemudian, Muruga meminta isterinya untuk memakai tuala wanita berkenaan. Bagaimanapun, reaksi yang diterimanya agak mengecewakan. Shanti berasa tidak selesa dan mengatakan rekaan yang dihasilkan Muruga adalah perkara sia-sia.

Respons negatif yang diterima tidak sedikit pun melunturkan semangat Muruga. Sebaliknya, dia bertindak untuk menggiatkan lagi usaha dengan melakukan kajian terhadap tuala wanita.

Bagi merealisasikan ideanya, lelaki ini telah mengambil jenis kapas daripada kilang yang berbeza. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti bahan yang sesuai untuk digunakan di dalam produk ciptaannya.

Namun selepas siap menghasilkan prototaip, isteri dan kakaknya tidak mahu cuba memakainya. Diberikan pula produk tersebut kepada pelajar perubatan di sebuah kolej untuk dicuba. Malangnya, Muruga dia tidak menerima maklum balas daripada kumpulan pelajar berkenaan. Sebabnya, mereka terlalu malu untuk berkongsi kesan penggunaan tuala wanita itu.

Akhirnya Muruga mengambil keputusan menjadikan dirinya sendiri sebagai uji kaji. Muruga menampal tuala wanita ciptaannya itu pada permukaan seluar dalam sebelum memakainya seperti biasa.

Kemudian, dia menggunakan sebuah bekas plastik dengan saluran getah bagi mengalirkan cecair. Bagi memberikan impak seakan haid, Muruga mengisi darah haiwan ke dalam bekas tersebut.

Bekas plastik tersebut diibaratkan sebagai ‘rahim’ kepada Muruga. Kemudian, dia meletakkannya pada bahagian pinggang sebelum melakukan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal.

Apabila berlaku tekanan terhadap botol berkenaan, darah yang tersimpan akan mengalir keluar. Dalam tempoh 20 minit, cecair tadi mengeluarkan bau yang sangat busuk. Tidak hanya itu, pakaian yang dipakai juga dipenuhi dengan tompokan darah.

Sikap aneh Muruga yang cuba bereksperimen itu sehingga seluar dipenuhi ‘darah’ menyebabkan jiran tetangga menggelarkan Muruga sebagai lelaki kurang siuman.

Akibatnya, isterinya yang berasa malu dengan sikap Muruga yang terlalu obses dengan tuala wanita telah meninggalkan Muruga dengan harapan suaminya itu berhenti daripada melakukan kajian pelik tersebut.

Namun, tuntutan cerai daripada isterinya tidak menghalang usaha Muruga. Sebaliknya, dia menjadi semakin gigih untuk mengenal pasti bahan serta melengkapkan proses dalam penghasilan tuala wanita ciptaannya.

Kegigihan Muruga akhirnya membuahkan hasil. Dalam tempoh tidak sampai lima tahun setelah memulakan usaha yang dianggap sebagai perbuatan gila oleh orang sekelilingnya, Muruga berjaya memiliki tiga buah mesin sendiri untuk menghasilkan produk tuala wanita ciptaannya.

Malah, hasratnya untuk membantu kaum wanita telah berjaya direalisasikan apabila tuala wanitanya sudah berada di pasaran. Produk Muruga dijual dengan harga 50 peratus lebih murah berbanding tuala wanita jenama lain.

Dengan wujudnya tuala wanita ciptaan Muruga, ia sedikit sebanyak menyumbang kepada peluang pekerjaan masyarakat di India. Paling penting, dia berjaya menambat semula hati isterinya selepas tempoh lima tahun mereka berpisah.

Kegigihan Muruga bukan saja mencipta tuala wanita untuk golongan wanita miskin di India, bahkan turut memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang.

Muruganantham hari ini bukan saja dikenali sebagai seorang usahawan dari Tamil Nadu, India, malah mesin penghasilan tuala wanita ciptaannya juga sudah berada di 23 daerah di India, terutama di kawasan pendalaman.

Malah, dia juga dalam perancangan untuk meluaskan lagi penggunaan mesinnya itu ke serata tempat supaya golongan wanita kelas bawahan mampu membelinya dan tidak lagi perlu melakukan cara taboo ketika datang bulan.

Muruga bersama isteri dan anaknya.

Kisah perjalanan hidup Muruganantham juga pernah diangkat ke layar Perak. Antaranya filem Phullu yang diterbitkan pada tahun 2017. Juga filem dokumentari berjudul Menstrual Man pada 2013 yang menceritakan perjalanan hidup Muruga dan filem itu tercalon dalam kategori Best Feature Documentary di Asia Pacific Screen Awards. Tak lupa juga filem Pad Man pada 2018 yang dibintangi aktor popular, Akshay Kumar.

Filem-filem yang diinspirasikan daripada kisah hidup Muruga.

“Wahai lelaki, jika anda ingin menyentuh langit, lakukanlah perkara hanya untuk isteri anda,” itu antara kata-kata berharga dari Muruga tentang pencetus kejayaannya hari ini.

_________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare