Seorang lelaki berehat di hadapan rumahnya yang dipagari dengan kawad duri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Kubur, Pantai Dalam, baru-baru ini GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK kebelakangan ini, banyak lokaliti telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.

Hari ini, sebanyak lapan lagi lokaliti di Pahang dan Sabah akan diletakkan di bawah PKPD mulai Sabtu ini selama dua minggu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di lapan lokaliti di Pahang dan Sabah itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Penguatkuasaan PKPD di kesemua lokaliti itu akan berterusan sehingga 17 September depan.

Menurut Rodzi, PKPD yang diumumkan hari ini melibatkan enam lokaliti di Pahang.

Katanya, tiga daripadanya terletak di Temerloh yang membabitkan perkampungan Orang Asli.

Baca artikel berkaitan: Tujuh lokaliti di Kelantan, Pahang dan Sabah dikenakan PKPD

“Ketiga-tiga perkampungan Orang Asli itu adalah Kampung Kuala Terbol; Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong.

“Sementara itu, dua lagi lokaliti berada di Kuantan iaitu di Penjara Penor dan Rumah Kongsi Pinggiran Goh manakala kawasan Sempalit, mukim Gali, Raub turut dikenakan PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rodzi berkata dua lagi lokaliti yang dikenakan PKPD berada dalam daerah Kota Kinabalu, Sabah.

Kata beliau, kedua-dua lokaliti itu melibatkan Taman Keramat dan Apartmen Angkasa.

“Selain itu, terdapat tiga lokaliti yang sepatutnya tamat PKPD esok akan dilanjutkan lagi selama dua minggu sehingga 17 September depan.

“Tiga lokaliti itu melibatkan dua kampung Orang Asli iaitu Kampung Batang dan Kampung Blau di Gua Musang, Kelantan serta Kompleks Penjara Bentong termasuk kuarters pekerja di Pahang.

“Pelanjutan PKPD itu dilakukan selepas meneliti analisis oleh KKM mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram