BERITA baik bagi rakyat Melaka selepas negeri itu diumumkan bakal beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Sabtu ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan Negeri Sembilan turut menjadi negeri terbaharu bergerak ke Fasa 3 PPN berkuat kuasa tarikh sama.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai dalam Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikannya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September depan.

“Destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Labuan ke Fasa 4, Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 mulai Khamis

Sebagai rekod, Negeri Sembilan baru sahaja beralih ke Fasa 2 PPN sejak 26 Ogos lalu selepas keadaan COVID-19 di negeri berkenaan bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad unit rawatan rapi (ICU) lebih rendah.

Buat masa ini, hanya Labuan merupakan satu-satunya negeri atau wilayah yang berada dalam Fasa 4 PPN manakala Perlis, Sarawak dan terbaharu Negeri Sembilan dalam Fasa 3.

Tujuh negeri lain iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan terbaharu Melaka berada dalam Fasa 2.

Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor pula masih berada dalam Fasa 1 PPN.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram