selawat keperluan dunia akhirat

Para ulama  mentakrifkan bahawa selawat Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi makna rahmat, perhatian dan kasih sayang. Sedangkan selawat orang yang beriman adalah merupakan doa.

Ayat yang menganjurkan kita berselawat tidak menunjukkan batasan jumlahnya dan waktu yang tertentu. Ini membawa maksud  dianjurkan berselawat sebanyak mungkin tanpa mengira waktu.

“Kalau orang berselawat kepada ku maka malaikat juga akan mendoakan keselamatan yang sama baginya untuk itu hendaknya dilakukan, meski sedikit atau banyak.” HR Ibnu Majah dan Thabrani.

Selawat bukan sekadar dapat pahala, malah dapat cinta Rasulullah dan dapat rahmat serta keberkatan dari Allah.  Nabi sudah janji kepada kita bahawa Allah akan cukupkan keperluan kita dunia dan akhirat hanya dengan berselawat.

Ia disebut di dalam hadis daripada Ubay  bin Ka’ab berkata,

Wahai Rasulullah, bagaimana pandangan kamu sekiranya aku jadikan seluruh doa ku untuk berselawat kepada mu? Rasulullah bersabda, “Jika begitu, Allah akan mencukupkan apa yang kamu inginkan dari urusan dunia dan akhirat mu dan diampunkan dosa mu.” HR Ahmad dan Tirmidzi).

Di dalam doa, telah disebutkan oleh Imam Nawawi iaitu adab berdoa mestilah dimulakan dengan berselawat agar doa kita dimakbulkan. Apabila berselawat Allah memberikan rahmat kepada kita, itu adalah salah satu cara yang menyebabkan doa itu dimakbulkan.

Kemudian apabila dilihat selawat dari sisi doa pula, apabila kita mendoakan kebaikan kepada orang lain maka kita akan mendapat balik doa yang sama. Maka apabila kita berselawat kepada Rasulullah maka ia adalah doa yang pasti termakbul.

Hasilnya kita juga akan mendapat doa yang sama dari Allah. Allah berikan kita jalan mudah untuk mendapatkan doa yang makbul iaitu dengan berselawat. Jagalah selawat  dan ucapkanlah secara berterusan penuh dengan khusyuk, ikhlas dan tulus agar tetap terjaga fungsinya sebagai sebuah doa yang amat makbul.

3 Cara Allah Makbulkan Doa

Cumanya, di dalam kita berdoa, Nabi telah sebut bahawa Allah akan makbulkan doa di dalam tiga cara iaitu pertama apabila kita berdoa hari ini Allah terima dan Allah beri  apa yang kita minta di atas dunia ini sebelum meninggal dunia.

Yang kedua, Allah terima doa kita dan Allah tidak beri apa yang kita minta tetapi Allah beri benda lain seperti  hidup berkat, tidak susah dan tidak berhutang.

Selawat adalah doa paling tinggi kedudukannyadi sisi Allah SWT

Ketiga, Allah makbul doa kita itu tetapi  tidak beri apa yang kita minta sebaliknya Allah selamatkan daripada musibah, bala, bencana dan kecelakaan.

Cara yang diamalkan oleh orang tua-tua, memulakan setiap pekerjaan yang baik dengan selawat ada signifikannya. Itu adalah cara yang paling mudah sekali bagi orang tua-tua kita untuk membiasakan anak-anak dengan selawat.  Apabila selawat bermain di bibir, barulah tindakan yang diambil lebih terarah dan mendapat berkat dari Allah. 

Kemudian apabila kita terlupa akan sesuatu perkara, juga diajarkan supaya berselawat. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah maka bantuan Nya akan datang tanpa terduga. Allah akan memberikan rahmat mencurah-curah dan membantu kita di dalam kesusahan. 

Betullah ajaran orang tua-tua supaya kita memperbanyakkan selawat kepada Nabi untuk mendapatkan rahmat Allah.  

Selawat Yang Paling Afdal

Yang pasti hadis ini akan menjawab segala persoalan, apa selawat yang paling afdal dibaca? Dari Abu Mas’ud Al Anshari katanya,

“Ketika kami sedang berada di dalam majlis Sa’ad bin Ubadah, tiba-tiba Nabi s.a.w datang. Basyir bin Sa’ad bertanya kepada Baginda, “Allah memerintahkan kami supaya berselawat kepada anda. Bagaimana caranya kami berselawat itu , ya Rasulullah?” Kata Abu Mas’ud,

“Rasulullah s.a.w. diam saja tidak segera menjawab. Sehingga kami mengira, mungkin Baginda tidak menyukai pertanyaan kami itu.” Kemudian Baginda bersabda, “Ucapkanlah; Allahumma solli a’la Muhammad, wa a’la aali Muhammad. Kama sollaita a’la Ibrahim. Wa baarik a’la Muhammad , wa a’la aali Muhammad. Kama baarakta a’la Ibrahim.. Fil a’lamina innaka hamidun majid. Kemudian memberi salam, dan caranya ialah sebagaimana anda semua telah mengetahui.” HR Muslim.

Inilah selawat yang paling bagus dan afdal sekali sebagaimana cara selawat yang diajarkan oleh Nabi  s.a.w ketika sahabat bertanya. Maksudnya adalah selawat yang sebagaimana sering dibaca di dalam solat.

Itu adalah selawat yang paling afdal dan tidak ada yang lebih afdal daripada itu. Manakala tentang selawat lain yang dikatakan bagus dibaca tidak disebutkan di dalam hadis, ia mungkin  hanya pendapat ulama. Wallahu a’lam

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram