POLIS menahan 17 individu termasuk nenek dua cucu dan remaja sekolah yang hadir parti liar di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam. - GAMBAR ihsan PDRM

SEORANG nenek yang telah mempunyai dua cucu antara 17 individu ditahan kerana menghadiri parti liar melibatkan dadah bagi menyambut hari jadi seorang wanita di sebuah kediaman mewah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, malam semalam.

Turut ditahan polis dalam serbuan pada pukul 11.55 malam semalam ialah seorang remaja sekolah dengan kesemua yang ditahan membabitkan lapan lelaki serta sembilan wanita berusia 13 hingga 54 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur hasil maklumat awam serta risikan

Pemeriksaan polis turut menemui pil Ekstasi seberat 10.73 gram (gm) bernilai RM464 dan ketamin seberat 2.88gm bernilai RM400.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki dan empat wanita disahkan positif Methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan awal mendapati, penganjur parti liar itu adalah wanita berusia 23 tahun dan ia dianjurkan untuk menyambut ulang tahun kelahirannya,” katanya pada kenyataan hari ini.

BERITA BERKAITAN Parti persendirian di kondo, penjawat awam antara ditahan

Menurutnya, turut dirampas kunci dan kad akses premis, seunit pembesar suara dan seunit lampu laser.

Sahar berkata, antara pengunjung adalah pelajar lelaki berusia 13 tahun yang mengikut abangnya menyertai parti itu.

“Selain itu, seorang daripada pengunjung ialah wanita kepada dua cucu berusia 54 tahun. Premis itu disewa pada kadar RM350 sehari dan tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, setiap pengunjung turut dikompaun RM2,000 mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No. 2) 2021.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, pemilik kediaman dan penganjur juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13(a) ADB 1952.