Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. GAMBAR: Facebook Wee Ka Siong

BERITA baik kepada seluruh rakyat apabila Kementerian Pengangkutan membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang telah tamat tempoh sah sehingga 31 Disember 2021.

Selaras dengan keputusan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, mana-mana pemilik LKM dan LMM yang telah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, kata beliau, pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans yang sah dan perlu dipapar bagi tujuan pemeriksaan.

Beliau menjelaskan, orang ramai hanya perlu memperbaharui insurans kenderaan bagi melindungi sesiapa yang menggunakan kenderaan itu dan pengguna jalan raya.

“Ini bermakna kenyataan sebelum ini bahawa penguatkuasaan akan bermula pada 1 Oktober tidak akan dilakukan sehingga 31 Disember kerana kita melihat situasi pandemik dan tak mahu membebankan rakyat.

“Saya selaku Menteri Pengangkutan telah menggunakan kuasa di bawah akta dan akan wartakan perkara ini. Orang ramai tidak perlu khuatir,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dapat semula lesen memandu, Ka Siong ceriakan hidup Arumugam

Mengulas lanjut, Ka Siong turut mengumumkan semua kaunter JPJ dan rakan strategik agensi itu di seluruh negara akan beroperasi semula dengan kapasiti 100 peratus secara walk-in mulai 6 September ini.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai melaksanakan apa sahaja urusan di JPJ.

Menurut Ka Siong, ia juga bertujuan untuk memastikan orang ramai dapat melaksanakan urusan pembaharuan lesen kenderaan dan lesen memandu dengan lancar dalam tempoh pelanjutan yang dibenarkan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Ka Siong berkata, pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ mesti telah mendapat vaksinasi lengkap bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai termasuk kakitangan bertugas.

“Pelawat juga perlu menunjukkan status risiko rendah COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera. Kita perlu lakukan ini untuk memastikan orang yang hadir betul-betul sihat.

“Selain itu, JPJ juga akan menghentikan sistem janji temu mengambil kira kesukaran dialami orang ramai berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Namun, orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal MySikap JPJ atau rakan-rakan strategik JPJ,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram