Sebahagian daripada orang ramai mengisi air yang disediakan oleh syarikat Pengurusan Air Selangor selepas gangguan bekalan air di sekitar Subang Jaya, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 94 lori tangki air telah digerakkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di Lembah Klang.

Air Selangor dalam hantaran di Facebook memaklumkan, kesemua kawasan yang terjejas adalah sama seperti senarai terlibat dengan gangguan air tidak berjadual baru-baru ini.

Menurut Air Selangor, syarikat itu sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

Buat masa ini, Air Selangor memaklumkan, bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut telah direkodkan di Sungai Semenyih pada pukul 6 pagi tadi.

“Air Selangor kini dalam proses untuk memulakan proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kilang disyaki jadi punca, Air Selangor buat laporan polis

Baru pulih semalam, hari ini 463 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air lagi

Mengulas lanjut, Air Selangor berkata akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden tersebut dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Katanya, pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Bantuan yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Pengguna di 463 kawasan di Lembah Klang sekali lagi berdepan ‘mimpi ngeri’ selepas terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kejadian kali kedua dalam tempoh satu minggu itu selepas LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada pukul 5.15 petang semalam ekoran insiden pencemaran bau pada sumber air mentah.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu melibatkan 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling; 54 kawasan di Hulu Langat; Sepang (194 kawasan); Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram