Sebahagian daripada orang ramai mengisi air yang disediakan oleh syarikat Pengurusan Air Selangor selepas gangguan bekalan air di sekitar Subang Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENCEMARAN bau yang telah memaksa operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sekali lagi terpaksa dihentikan dalam tempoh kurang satu minggu disyaki berpunca daripada sebuah kilang berada di kawasan perindustrian di Jenderam Hilir, Sepang.

Sehubungan itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. telah membuat laporan polis sejurus pencemaran itu dikesan dan polis akan menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, agensi penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengesan jejak pencemaran hingga membawa kepada penemuan sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran itu.

Katanya, kes tersebut dijangka disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap air, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum lima tahun.

“Insiden berulang di lokasi sama dalam tempoh kurang satu minggu adalah amat mendukacitakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh penjenayah alam sekitar ini perlu dikenakan tindakan tegas.

Baca artikel berkaitan: Baru pulih semalam, hari ini 463 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air lagi

“Saya ingin memberi amaran kepada pihak yang mencemar alam sekitar akan dikenakan tindakan tegas setimpal dengan kesalahan sehingga menyebabkan LRA Semenyih terpaksa ditutup yang menjejaskan bekalan air kepada 323,622 akaun atau kira-kira 1.6 juta pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim memaklumkan, SPAN akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Pengguna di 463 kawasan di Lembah Klang sekali lagi berdepan ‘mimpi ngeri’ selepas terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kejadian kali kedua dalam tempoh satu minggu itu selepas LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada pukul 5.15 petang semalam ekoran insiden pencemaran bau pada sumber air mentah.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu melibatkan 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling; 54 kawasan di Hulu Langat; Sepang (194 kawasan); Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram