Tanah runtuh sehingga memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan malam tadi.Foto FACEBOOK KHAIRY JAMALUDDIN

SEBANYAK lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah yang terletak berhampiran tanah runtuh sehingga memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) malam tadi, telah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata lima bangunan itu iaitu Stor Ubat dan Consumable, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab terletak di Kompleks C HQE.

Menurutnya, runtuhan seluas 20 meter lebar tersebut pada masa sama mengakibatkan kerosakan struktur bangunan Sleep Lab dan stor Hospital Support Services (HSS).

“Pihak HQE juga telah mengambil tindakan menutup perimeter kawasan runtuhan dan tapak runtuhan ditutup menggunakan kanvas.

“Beberapa langkah akan diambil termasuklah baik pulih segera oleh Jabatan Kerja Raya dan bantuan kebajikan khas kepada kakitangan yang terkesan akibat kejadian ini,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

Rosnah meninjau kawasan tanah runtuh di HQE, Kota Kinabalu, hari ini. FACEBOOK KHAIRY JAMALUDDIN

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakilinya telah turun melihat keadaan tanah runtuh yang berlaku di Kompleks C HQE susulan hujan lebat yang berlaku semalam.

Malah katanya, beliau sendiri akan ke Kota Kinabalu Isnin ini bagi melihat sendiri keadaan di sana dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memperincikan tindakan seterusnya yang perlu diambil.

“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan dalam bencana berkenaan,” tambahnya.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam tertimbus.